Mukjizat Rasulallah sebahagian besarnya sama ada dalam bentuk aqwaal mahu pun dalam bentuk af’aal. Sebahagian ‘ulama berpendapat terdapat dua mukjizat terbesar yang berlaku kepada Rasulallah, iaitu Isra’ Mikraj dan jua al-Quran.
Abu Huarairah menyatakan, Nabi pernah berkata, “Tidak ada seorang pun para Nabi melainkan diberikan ayat-ayat (mukjizat) yang serupa, yang menyebabkan manusia beriman kepadanya. Dan ayat yang diberikan kepadaku ialah wahyu yang telah diwahyukan oleh Allah kepadaku. Maka, aku harapkan aku adalah yang paling banyak pengikutnya daripada para nabi pada hari akhirat.”
(Direkodkan oleh Ahmad, Bukhari dan Muslim)
Jelasnya, para nabi yang datang itu mesti diberi mukjizat, seperti yang diberikan kepada nabi yang sebelumnya. Lalu, dengan mukjizat-mukjizat itu manusia beriman kepadaNya. Mukjizat yang Allah berikan kepada Rasulallah adalah wahyu, iatu al-Quran. Oleh sebab itu, Rasulallah berharap semoga beliau menjadi Nabi yang paling ramai pengikutnya pada hari akhirat nanti.
Muhammad Rasyid Ridha dalam pengenalan kitabnya, al-Wahyul Muhammad, dalam menjelaskan masalah mukjizat, antaranya ada menulis,
Mukjizat Nabi Muhammad yang aqliyah, amaliyah dan semuanya sesuai dengan keadaan alam.
Menurut keterangan pakar hadis dengan laporan sama ada yang muttasil mahu pun mursal, yang menerangkan tentang mukjizat Nabi, mukjizat baginda lebih daripada mukjizat yang diberikan kepada para ahli Injil dan jauh lebih takwil. Mukjizat baginda yang kelihatan aneh dan pelik pada masa itu tidak baginda gunakan sebagai bukti kebenaran agama yang diserunya atau bagi menguatkan dakwah baginda sebagai Nabi, tetapi bagi sekadar kepentingan pengikut beliau pada masa itu.
Allah menjadikan kenabian dan kerasulan Muhammad itu ditegakkan di atas dasar-dasar ilmu dan akal, sama ada ketetapannya mahupun tentang kedudukannya. Kerana umat manusia yang hidup pada masa itu telah mulai masuk ke dalam pola berfikir yang merdeka, yang tidak mudah tunduk dan menurut saja orang yang mendatangkan keanehan-keanehan dan keganjilan-keganjilan itu.
Bahkan tidaklah sempurna kemajuan mereka itu cara tunduk, malah cara yang demikian itu menjadi penghalang besar bagi mereka. Oleh sebab itu, Allah mengadakan hujah (alasan yang jelas) tentang Nabi yang menjadi penutup sekalian para nabi itu dengan pokok dan sendi kenabiannya yang kuat dan kukuh, iaitu kitabNya. Kitab yang diturunkan itu dapat melemahkan segala kekuatan manusia dengan petunjukNya dan ilmuNya, sama ada lafaz mahu pun maknanya, dan dengan berita-berita yang ghaib yang sedang terjadi dan yang akan terjadi. Semua itu bagi mendidik manusia supaya mencapai kemajun dan kebebasan, kepada kesempurnaan yang mana mereka sudah mempunyai persediaan bagi mencapainya.
Inilah perbezaan mukjizat-mukjizat dahulu dengan mukjizat-mukjizat umum serta kekal. Allah menceritakan kepada kita dalam kitabNya, kaum musyrikin mengemukakan beberapa permintaan kepada Nabi supaya baginda membawa bukti yang ganjil-ganjil yang menunjukkan baginda itu adalah Nabi. Maka baginda memberi keterangan kepada mereka dengan al-Quran yang isinya antara lainnya menceritakan tentang kisah hidup para rasulNya dan kitab-kitab terdahulu, yang baginda sendiri dan para sahabatnya tidak tahu sebelumnya. Dalam pada itu diterangkan jua tentang hidayah ilmu yang terkandung di dalamnya dan kelemahan manusia mengatasi susunan tatabahasanya sehingga tiada seorang pun manusia atau pun kumpulan manusia yang sanggup menandinginya.
Ada pun mukjizat-mukjizat yang dikurniakan oleh Allah kepada nabi yang berupa kejadian yang aneh-aneh seperti mukjizat-mukjizat para Nabi yang terdahulu, bukanlah bagi menegakkan kebenaran baginda sebagai utusan Allah, tetapi bagi digunakan kepentingan para sahabat baginda ynag sedang berada dalam keadaan menderita sengsara. Misalnya, pertolongan kepada mereka bagi mengalahkan orang-orang kafir yang ramai jumlahnya serta cukup kelengkapannya semasa perang Badar.
Selanjutnya seperti dalam peeprangan Ahzab, ketika kaum musyrikin dan Yahudi bersepakat menyerang kaum Muslimin dengan menegepong kota Madinah, maka Allah menangkis serangan mereka yang sangat hebat, yang menyebabkan para musuh itu kembali dengan tangan hampa.
Mukjizat-mukjizat Nabi pada masa itu termasuklah menyembuhkan orang yang sedang sakit, menyembuhkan mata orang buta, mengenyangkan orang ramai dengan makanan yang sedikit semasa perang Ahzab dan Perang Tabuk sebagaiman yang ada pada mukjizat al-Masih Isa. Antara mukjizat Nabi Muhammad lagi, Allah memerintahkan awan (hujan) menyegarkan kaum muslimin dan menetapkan tapak kaki mereka yang sedang ada di padang pasir di Badar, sedangkan dan pada masa itu jua kaum musyrikin tidak mendapat air hujan sedikit pun. Peristiwa yang sedemikian itu terjadi jua semasa peperangan Tabuk, iaitu ketika bekalan air minuman angkatan kaum Muslimin sudah habis di tengah-tengah padang Sahar. Keadaan udara pada masa itu sangat panas sehingga mereka terpaksa menyembelih unta dan mengeluarkan isi perut unta-unta itu bagi mengambil airnya yang diperah sekadar untuk membasahkan lidah-lidah mereka, sedangkan unta-unta yang dipergunakan sebagai kenderaan mereka sangat sedikit dan sedikit pulalah orang-orang yang mendapat air perahan unta-unta itu.
Dengan demikina tentulah penderitaan mereka ketika itu sangat hebat. Oleh sebab itu, pada masa itu Abu Bakar berkata keapda Nabi, “Wahai Rasulallah, sesungguhnya Allah telah membiasakan kebaikan di dalam kamu, maka sudilah kiranya kamu berdoa kepadaNya bagi kita semua.” Lalu, pada ketika itu Nabi mengangkat kedua tangannya dan berdoa supaya diturunkan air hujan. Belum lagi dua tangan baginda turun, langit kelihatan penuh awan dan seketika itu jua turunlah hujan dengan lebatnya. Dengan demikian, mereka dapat mengisi bekas-bekas air masing-masing, manakala hujan yang baru turun tadi tidak melebihi sempadan tampat angkatan perenag mereka.
Begitulah antara penjelasan yang dilontarkan oleh Muhammad Rasyid Ridha.
sumber dari: madahannan.wordpress.com
No comments:
Post a Comment