Ramadhan ini suram. Aku jujur dan tidak mahu menipu. Aku kembali di mana aku mula mencari rezeki, walaupun hatiku sebenarnya mahu menolak ke tepi. Aku hormat dan aku terima, walaupun suasananya telah berubah. Maaf, aku mungkin tidak kekal lama, kerana kini ia tidak sama. Tiba saatnya, aku akan melangkah buat kali kedua.
Sesungguhnya Allah S.W.T. amat sayang kepadaku, kerana tahun ini aku diuji dengan sebenar-benar ujian. Rezekiku bergolak, persahabatanku tercalar, dan sayangku menjauh diri. Jiwa aku digigit, kerana aku tiada siapa untuk mengadu. Berat mata memandang, berat lagi bahu aku yang memikul. Ya Allah, aku benar-benar jatuh!
Salah faham merubah segalanya, tetapi aku faham. Mungkin ini satu ruang yang diberikan Yang Maha Mengetahui untuk aku menguatkan hati, sebelum Dia kembalikan apa yang aku sayangi dan cintai, Insya Allah. Jujurnya aku masih sayang, aku masih mengharap, kerana bukan aku pinta keadaan itu berlaku. Janjiku aku pegang, kerana hatiku dan hatinya bukan sebarang.
Doaku dan hajatku di bulan berkat ini, agar Allah S.W.T. kembalikan ketenangan dan kebahagiaanku dahulu, kerana ada janji dan tanggungjawab di situ. Amin.
sumber dari: audifaliq.wordpress.com
No comments:
Post a Comment