Pages

Saturday, 1 June 2013

Perlis mahu jadi hab ulam terkemuka





Sabry Ahmad (dua dari kiri) melihat ulam-ulaman di kebun milik Bakri Abu Hanifah di Kampung Alor Sena, Santan, Kangar, baru-baru ini.

KANGAR 25 Okt. - Perlis akan mewujudkan hab ulam berikutan perkembangan dan potensi pasaran ulam-ulaman yang semakin meluas dalam masyarakat di negara ini.

Penubuhan hab itu juga bertujuan menarik minat generasi muda untuk mengenali ulam-ulaman di negeri ini dan sebagai salah satu pendekatan untuk mereka menjadikan ulam sebagai makanan harian.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi negeri, Sabry Ahmad berkata, usaha tersebut akan dipergiatkan dan peranan itu perlu dimainkan oleh agensi berkaitan dalam memberi maklumat khasiat ulam-ulaman terhadap kesihatan.

Katanya, berdasarkan sambutan masyarakat di negeri ini dalam pertandingan Bumi Hijau jelas telah memberi impak yang baik kepada masyarakat di pelbagai peringkat untuk memahami betapa pentingnya ulam, sayur dan buah serta herba terhadap kesihatan.

"Kalau kita bercakap tentang ulam-ulaman, tentunya kita kena faham bahawa ulam itu merupakan gelaran kepada tumbuhan yang dimakan mentah atau sekadar dicelur sebelum dimakan bersama-sama dengan perasa seperti sambal belacan, budu atau cencaluk sebelum dimakan bersama nasi," katanya.
Menurut beliau, ulam sudah terkenal sebagai antara hidangan harian utama dalam kalangan masyarakat Melayu di kampung, malah hari ini pun ulam amat diminati oleh semua kaum di negara ini termasuk pelancong asing.

Ramai yang mengetahui bahawa ulam diambil dari pelbagai tumbuhan yang boleh dimakan termasuk pucuk, daun, umbut, biji, buah, ubi dan bunga.

Di Malaysia terdapat lebih 120 jenis tumbuhan telah dikenal pasti sebagai tumbuhan yang boleh dijadikan ulam.

Sama ada daripada tumbuhan kecil dan melata seperti pegaga dan sehinggalah pokok-pokok renek dan pokok besar seperti petai, jering dan kerdas selain pucuk putat, lemak ketam, kedondong, cemumar dan daun selom yang popular dimakan bersama laksa.
"Lazimnya kita hanya mengetahui beberapa jenis ulam popular seperti rebung, cekur manis, jering, kacang kelisa, pucuk gajus, kaduk, kerdas, kesum, nangka muda, pucuk paku, pegaga, petai, jantung pisang, daun selom, terung pipit, pucuk ubi kayu, ulam raja, daun beluntas, pucuk betik, cekur," katanya.
Ulam yang kurang popular dan sukar didapati ialah kemahang, geli-geli, daun kelor, keremak, pina-pina, salang dan tapak itik.

Justeru kata beliau, usaha harus dipergiatkan dan peranan perlu dimainkan oleh jabatan dan agensi terbabit dengan memberi maklumat terhadap khasiat ulam pada kesihatan.

"Sebagaimana sayur-sayuran, ulam-ulaman juga mempunyai khasiat yang tersendiri seperti karbohidrat, lemak, protein, mineral dan vitamin untuk kesihatan manusia," katanya.
Sebagai contoh ulam petai dan jering yang mempunyai nilai kalori dan tenaga 124 kilo kalori (kcal) bagi 100 gram manakala ulam buah seperti terung pipit mengandungi 78 kcal.
Sementara itu, kajian MARDI pula menunjukkan bahawa kandungan protein dalam petai dan jering adalah bermutu tinggi kerana ia mempunyai profil asid amino yang baik iaitu asid amino.

Dalam pada itu seorang penggemar ulam di Kampung Alor Sena, Santan di sini, Bakri Abu Hanifah, 44, menjadikan kegemarannya itu sebagai pendapatan harian untuk menampung kehidupan keluarganya.
Sejak lima tahun lalu dia telah mengusahakan tanaman ulam-ulaman bermula di belakang rumahnya dan kini diperluaskan di tanah milik ibunya, seluas 1.4 hektar di Kampung Semadong di sini.
"Pada masa ini terdapat lebih 500 jenis ulam-ulaman yang saya tanam dengan bantuan isteri dan ibu saya," katanya.

Antara pohon ulam-ulaman yang ditanam oleh Bakri ialah pokok putat, lemak ketam, kedondong, cemumar, daun selom, terung pipit, ulam raja, pucuk ubi kayu, kesum, kaduk, cekur manis, jering, kacang kelisa dan pucuk gajus.

Menurutnya, ulam-ulaman itu mendapat permintaan yang tinggi daripada masyarakat di negeri ini malah di restoran-restoran seluruh negeri ini.

"Adakalanya kami tidak menang tangan melayan tempahan daripada restoran dan juga penduduk kampung yang akan mengadakan keramaian termasuk kenduri kesyukuran," ujarnya.
Bakri berkata, pada hari-hari biasa dia boleh meraih keuntungan antara RM60 dan RM80 sehari menjual ulam-ulaman tersebut kepada peraih di pasar.

Menceritakan kembali minatnya untuk menanam pohon ulam, dia berkata, pada awalnya ramai orang yang tidak percaya penanaman pohon ulam boleh mendatangkan keuntungan.
"Saya pernah dicemuh kerana mereka beranggapan usaha ini adalah sia-sia namun rezeki Allah kurniakan setelah berbakti kepada tanah amat lumayan," ujarnya.

Kata Bakri, idea untuk menanam pohon itu bermula sejak lima tahun lalu ketika isterinya berniaga laksa.
"Oleh kerana sering berhadapan dengan kesukaran untuk mendapatkan bekalan ulam seperti daun kesom, pucuk putat dan daun selom kami bercadang untuk menanam sendiri dan bermula dari itu terus diperluaskan untuk menanam pokok ulam-ulaman lain," katanya.

Menurut Bakri pada tahun lalu, hasil tanaman ulamnya telah dipasarkan sehingga ke Sabah semasa berlangsungnya festival makanan di sana.


sumber dari: utusan.com.my

No comments:

Post a Comment