Pages

Tuesday 29 November 2011

pengurusan harta pusaka

Kalau tuan tuan pergi jalan-jalan ke Seri Menanti atau Kuala Pilah, tuan-tuan akan lihat banyak rumah kampung yang usang dan tidak terurus. Laman yang semak dan rumah tua yang dibalut belukar adalah pemandangan yang biasa. Kebanyakan rumah dan tanh yang terbiar ini adalah peninggalan harta pusaka yang tidak diurus dengan baik. Negeri Sembilan khasnya mempunyai sistem adat tanah yang unik. Tanah pusaka hanya boleh turun kepada anak perempuan sahaja.

Niat pengasas Adat Perpatih dulu sememangnya murni untuk membela nasib orang perempuan Minangkabau. Kerana orang lelaki mereka suka merantau, maka biarlah orang perempuan yang tinggal di kampung menjaga kebun dan rumah halaman mereka. Orang lelaki Minangkabau adalah perantau yang hebat. Mereka berdagang dan membina ekonomi di perantauan. Olehitu difikirkan mereka tiada perlu kepada harta pusaka. (Lihat saja di Chow Kit Road dan sekitar KL.. majoriti peniaga Melayu di sana adalah orang Minangkabau)
Walaubagaimana pun sistem ini tidak lagi relevan pada zaman sekarang. Orang perempuan Melayu/Minang sudah ramai yang berhijrah ke merata pelusuk dunia. Samada mengikut suami atau mencari rezeki sendiri. Maka tinggallah tanah pusaka dan Rumah Gadang atau Rumah Induk usang terbiar. Tanah pusaka yang tidak boleh diturunkan kepada anak laki-laki menjadi semak samun yang membiak ular dan nyamuk.

Maka di sinilah kita lihat peri pentingnya Pengurusan Harta Pusaka yang baik. Agar rumah dan tanah pusaka tidak terabai dan tidak memberi apa-apa faedah kepada para waris.

Amanah Raya Berhad(ARB) memainkan peranan penting dalam hal ini. Masyarakat perlu disedarkan bahawa mereka perlu menulis wasiat dan tulis dengan sempurna. Dengan adanya wasiat yang baik, yakni, berdokumen dan ditadbir secara professional, maka perbalahan tentang harta pusaka peninggalan orang tua akan dapat dielakkan. Rumah-rumah usang dan tanah terbiar yang banyak bertaburan di seluruh negara mungkin dapat dimanfaatkan dengan baik.

Satu akta baru perlu difikirkan bagaimana untuk menjadikan Penulisan Wasiat menjadi satu sabjek di sekolah-sekolah dan pusat pengajian. Adat-adat berkenaan tanah dan pusaka yang sudah lapuk harus ditukar. Orang Islam perlu kembali kepada Sistem Perwarisan yang termaktub dalam Al Quran. Begini sahaja akan dapat mengelakkan masalah harta beku. Menurut ARB, RM40B harta umat Islam di Malaysia beku kerana pengurusan harta pusaka yang tersangkut. Antara masalahnya ialah tiada wasi (pemegang amanah) yang professional dan waris-waris yang hilang entah ke mana. Proses untuk menguruskan harta pusaka jika tidak ada wasi yang professional amat lambat dan terpaksa menghadapi sistem birokrasi yang teruk. Para waris terpaksa turun naik mahkamah untuk mendapatkan kuasa dan membahagi-bahagikan harta pusaka. Bagaimana nasib anak-anak yatim dan para yang perlu menyambung kehidupan? Semasa ayah masih hidup mereka mungkin hidup senang tetapi oleh kerana si ayah tidak menulis wasiat secara sistematik, nasib keluarga yang ditinggalkan menjadi caca merba.

Mahukah kita menjadi tidak tenteram di dalam kubur kerana harta peninggalan kita (dan hutang) tidak diurus dengan baik. Anak isteri jatuh miskin papa walaupun harta pusaka si ayah banyak. Mana pula orang yang bukan waris yang betul mengaut rezeki anak yatim yang kita tinggalkan. Adik beradik bergaduh berbutkan harta peninggalan kerana ayah tidak membuat wasiat. Dan berbagai-bagai lagi masalah yang banyak kita dengar.

No comments:

Post a Comment