Pages

Friday 11 November 2011

mendidik amanat ALLAH

small-boy-standing-amid-worshipers-in-salat




Nabi Muhammad s.a.w selalu menganjurkan para sahabatnya untuk menyampaikan apa yang pernah mereka dengar, supaya dimanfaatkan oleh generasi-generasi berikutnya di mana sahaja. (Dr.Yusuf Qardhawi, 1996).

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

“Sampaikanlah olehmu yang datang dariku meskipun hanya satu ayat”.

Dinulhayah Islam adalah sebagai cara hidup yang lengkap dan sempurna dan Islam adalah agama untuk pendidikan hidup. Oleh itu orang yang pertama sekali bertanggungjawab dalam mendidik ialah ibu bapa atau penjaga anak-anak. Kedudukan dan peranan ibu bapa adalah soal yang paling utama dalam Islam. Rasulullah s.a.w bersabda:

semua kanak-kanak dilahirkan suci, tetapi ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi”.

Hadis ini menjelaskan bahawa ibu bapa berkewajipan dan berperanan mengasuh, membentuk mendidik dan memimpin anak-anak menjadi orang yang mulia di sisi Allah S.W.T, bangsa dan Negara. Pendidikan adalah proses yang berterusan seumur hidup. Pendidikan tidak akan terjejas atau tergugat oleh batas-batas masa, tempat dan nilai-nilai kemasyarakatan. Sejak dari kelahiran kita ke dunia, hinggalah kita kembali menemui Tuhan, proses pendidikan tetap berterusan dan diperlukan. (Tajul Ariffin Noordin. 1990).

Setelah ibu bapa, orang kedua yang bertanggungjawab dalam mendidik adalah guru. Walau bagaimanapun ibu bapa tidak boleh meletakkan tugas mendidik anak-anak kepada guru semata-mata. Islam sendiri meletakan setatus ibu bapa itu lebih tinggi daripada guru-guru dalam urusan mendidik anak. Para pendidik harus sedar bahawa tugas menyampaikan ilmu adalah amanah Allah dan bukan suatu tugas yang ringan. Ia merupakan satu tanggungjawab besar dalam membina perkembangan manusia. Oleh itu, mereka perlu berhati-hati dalam menjalankan tugas. Rasulullah s.a.w bersabda:

“Sesiapa yang mengasaskan jalan yang baik dalam Islam, maka diamalkan orang, dicatat baginya pahala sebagaimana pahala orang yang mengikutinya, dengan tidak dikurangkan sedikitpun pahalanya. Dan sesiapa yang mengasaskan jalan tidak baik dalam Islam, maka diamalkan orang, dicatatkan baginya dosa sebagaimana dosa orang yang melakukannya dengan tidak dikurangkan sedikit pun dosanya”.

Hadis ini menjelaskan mengenai tanggungjawab dan kedudukan pendidik atau guru dalam konteks keagamaan. Mereka bertanggungjawab di hadapan Allah s.w.t terhadap ilmu yang disampaikan dan kesan daripada penyampaian itu terhadap orang lain pada hari kiamat. Jika kesedaran keagamaan seumpama ini wujud dalam setiap diri pendidik, maka sudah tentu pendidik itu akan berhati-hati dalam merancang kurikulum dan bidang keilmuan. Ini kerana usaha itu bukan berakhir di situ sahaja, tetapi dipertanggungjawabkan di hadapan Allah s.w.t pada hari kemudiannya.

Pendidik haruslah berkemampuan membina keunggulan sahsiah pelajar-pelajarnya dan keunggulan suasana pengajaran dan pembelajaran serta mempunyai keseimbangan antara pengahayatan agama dan moral, dengan kemahiran dalam pengurusan hidupnya.

No comments:

Post a Comment