Dengan nama ALLAH, Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. [Surah Al-'Asr Ayat 1-3]
Monday 28 November 2011
hari jumaat dan kiamat
Kira-kira sebulan yang lalu, aku berkesempatan mendengar kuliah subuh di salah sebuah masjid di pinggir Kuala Lumpur. Kuliah tersebut berkisar tentang adab-adab di hari Jumaat.
Ketika menyampaikan kuliah tersebut, ustaz berkenaan sempat juga menceritakan ketika beliau berbual dengan seorang imam ketika singgah di salah sebuah masjid di Perak untuk menunaikan solat. Imam masjid berkenaan menceritakan banyak peristiwa penting yang berlaku pada hari Jumaat.
Di antaranya termasuklah Hari Raya Korban (Jumaat, 27 November 2009), gerhana matahari yang lepas jatuh pada hari Jumaat (tidak pasti tarikhnya), Awal Muharram (Jumaat, 18 Disember 2009) serta Maulidur Rasul yang akan disambut pada hari Jumaat ini, 26 Februari 2010.
Imam berkenaan memaklumkan ini adalah petanda kiamat akan berlaku dalam tempoh terdekat. Namun ustaz berkenaan tidak pasti sama ada terdapat hadis yang berkaitan dengan peristiwa-peristiwa yang berlaku serta kaitannya dengan hari kiamat. Mungkin ini adalah secara kebetulan sahaja.
Aku teringat pernah menerima emel yang berkaitan dengan peristiwa penting yang jatuh pada hari Jumaat. Namun aku tak dapat membaca dengan sepenuhnya kerana terlalu banyak emel yang perlu disemak dalam 'inbox'. Rasanya dah pun ter'delete'.
Dalam pada itu, aku cuba mencari artikel berkenaan peristiwa-peristiwa penting ini melalui internet. Beberapa blog lain yang sempat dibaca juga menambah selain dari peristiwa-peristiwa yang aku nyatakan di atas, termasuklah hari Krismas (Jumaat, 25 Disember 2009), Tahun Baru (Jumaat, 01 Januari 2010), Hari Wesak (Jumaat, 28 Mei 2010), Nuzul Quran (Jumaat, 27 Ogos 2010), Hari Raya Aidilfitri (Jumaat, 10 September 2010) dan akhir sekali Hari Deepavali (Jumaat, 05 November 2010).
Wah..! Tak sangka ada yang sanggup meninjau kalendar masa depan hari-hari kebesaran yang akan berlaku untuk menguatkan hujjah. Dari sudut positifnya, memang digalakkan untuk mengingati antara satu sama lain tentang kematian, hari pembalasan dan sebagainya.
Namun peristiwa-peristiwa yang dinyatakan tersebut tiada kaitan dengan tanda-tanda ketibaan hari Kiamat. Islam telah menggariskan beberapa tanda-tanda hampirnya Kiamat, sama ada tanda kecil atau pun tanda besar.
Tanda-tanda kecil Kiamat telah banyak dan mungkin kesemuanya telahpun berlaku. Cuma tanda-tanda besar ada yang telah berlaku dan ada yang belum terjadi seperti kejadian terbitnya matahari dari ufuk barat dan terbenam di ufuk timur. Hayatilah tanda-tanda Kiamat seperti anjuran Islam itu terlebih baik daripada menghubungkaitkan segala peristiwa dan tarikh-tarikh dengan kedatangan hari Kiamat.
Persoalan Kiamat, kematian, kehidupan, rezeki, jodoh pertemuan, qada dan qadar serta segala yang berkaitan dengan alam ghaib adalah kerja Allah. Dia tidak meminta hamba-hambaNya mencampuri urusanNya itu kerana ada amanah lain yang mampu dilakukan, yang perlu dan sepatutnya dilakukan.
Yang pastinya, Kiamat akan berlaku pada hari Jumaat seperti yang terdapat dalam sebuah hadis: Daripada Abu Hurairah ra, bahawa RasuluLLah SAW telah bersabda (yang bererti) “Sebaik-baik hari yang terbit matahari padanya adalah hari Jumaat. Pada hari itulah Adam dicipta, pada waktu itu juga ia dimasukkan dalam syurga dan waktu itu juga dia dikeluarkan daripadanya. Hari kiamat tidak akan terjadi kecuali pada hari Jumaat.” (Hadith Riwayat Muslim, Abu Daud, Nasa’i serta Tirmidzi yang mengesahkannya).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment