Pages

Friday 11 November 2011

pendidik dalam islam

 




Pendidik di dalam islam adalah meliputi hal keduniaan dan akhirat sama ada pendidik itu menyampaikan Ilmu Fardhu Ain atau Ilmu Fardhu Kifayah. Sebagaimana menurut Imam Ghazali bahawa ilmu itu dibahagikan kepada Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah.Sistem pendidikan Islam memperimbangkan tawazun antara kepentingan individu dengan kepentingan ummah melalui konsep Ilmu Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah.

Demikian juga dalam kaedah fiqih terdapat konsep maslahah ummah (kepentingan ummah) dan maslahah ammah (kepentingan awam) di samping pengakuan Islam terhadap maslahah fardi atau khassah (kepentinan individu). (Ghazali Basri, Jurnal Pendidikan Islam, Desimber 1987).Hal ini juga dapat dilihat di dalam kitab Adab Al Mu’allimin di mana Ibnu Sahnun telah membahagikan kurikulum pendidikan di Al Kuttab kepada kurikulum wajib (ijbari) dan kurikulum pilihan (ikhtiyari). Bagi kurikulum wajib para pendidik akan mengajarkan al-Quran, Hadis Nabi dan Fiqih sementara bagi kurikulum pilihan pelajaran yang diajarkan ialah; Ilmu Hitung, Syair, al-Gharib (kata-kata sulit), Bahasa Arab dasar dan Kaligrafi serta Ilmu Nahu.

Menurut Imam Ghazali illmu Fardhu Kifayah itu terbahagi kepada ilmu Syari’ah dan bukan Syari`ah. Ilmu Syari`ah ialah ilmu-ilmu yang diperolehi dari Nabi s.a.w. Sementara ilmu bukan Syari`ah pula ialah ilmu-ilmu yang terpuji, iaitu ilmu-ilmu yang ada hubungan dengan kepentingan duniawi dan untuk kemaslahatan ummah, seperti ilmu kedoktoran dan sebagainya yang mana ilmu berkenaan menjadi keperluan bagi sesebuah negara.  

Seorang pendidik haruslah memahami bahawa Islam adalah ad-Din bukan sekadar aqidah dan peribadatan seperti sembahyang puasa menunaikan zakat dan naik haji tetapi suatu sistem hidup nizam al-hayat yang serba mencakup sama ada dari segi hubungan manusia sesama manusia atau di antara manusia dengan tuhannya dan hubungan manusia dengan alam sekelilingnya sama ada yang berbentuk spiritual atau material. Pendidik bukan sahaja berperanan untuk memberi kesedaran kepada diri sendiri, malahan juga untuk masyarakat tentang hubungan, komitmen dan hubungannya dengan hukum Allah s.w.t. Islam memberi penghormatan yang tinggi kepada ahli-ahli ilmu. Allah berfirman yang bermaksud: 

“Sesungguhnya yang takut kepada Allah antara hambanya ialah ulama’”. (surah Faathir: 28).Dan Rasulullah s.a.w bersabda: “Ulama’ ialah pewaris para nabi”.

Kedua-dua nas di atas jelas membuktikan bahawa Islam memberi penghormatan kepada ahli ilmu. Mereka mempunyai sifat ketakwaan kepada Allah s.w.t hasil daripada ilmu yang diwarisi daripada para nabi a.s. Tugas menyampaikan amalan keilmuan ini terletak pada pendidik. Melalui ilmu sahajalah kita dapat menimbulkan kesedaran manusia terhadap Allah dan dapat membezakan sesuatu yang hak dan batil.

No comments:

Post a Comment