Hari Ibu adalah hari yg patut diraikan setiap hari, kerana peranan ibu itu tidak pernah berhenti. Bermula dari fasa mengandungkan bayinya sehingga membesar dan mendidik anak-anak dengan pendidikan yang betul menepati kehendak syarak.
Sekiranya kita mengimani bahawa jihad seorang lelaki muslim itu tertumpu di luar rumah, maka kita perlu imani juga bahawa jihad sebenar seorang wanita muslimah tertumpu di dalam rumah, melahirkan rijal-rijal pejuang agama dan bangsa, dan serikandi-serikandi yang sarat dengan ciri-ciri kewanitaan dan keibuan yang bakal mewarisi tugas ibunya mendidik ummah.
Berapa banyak sudah kita lihat kepincangan anak-anak muda di zaman moden ini kerana kealpaan atau ketiadaan agenda ibu bapa dalam mendewasakan mereka. Kebanyakan ibu bapa hari ini lebih mengutamakan kehidupan kerjaya berbanding keluarga. Tidak dinafikan juga, terdapat ibu-ibu yang bekerja sebagai suri rumah sepenuh masa namun hanya memberi tumpuan kepada makan minum pakai anak-anak semata-mata tanpa agenda khusus dalam pembentukan peribadi anak-anak.
Oleh itu wahai kaum ibu, janganlah lupa peranan asal kita sebagai muslimah harapan agama dan bangsa, iaitu mendidik dan membentuk zuriat yang telah diamanahkan kepada kita supaya mereka menjadi pelapis-pelapis dalam perjuangan menegakkan syariat Allah di mukabumi ini. Tiada siapa yang lebih layak untuk membina dan menanam fikrah perjuangan ke dalam lubuk minda anak-anak kita selain daripada ibu yang lebih banyak masanya bersama anak-anaknya sejak kecil lagi.
Masih belum terlambat untuk kita merancang agenda buat ahli keluarga kita serta mendidik mereka menjadi individu yang beragenda. Teruskanlah menanam azam dan menimba ilmu untuk memastikan anak-anak kita dapat berkhidmat kepada masyarakat dengan agenda-agenda islami. Libatkan anak-anak kita dalam aktiviti-aktiviti yang membentuk iman dan keperibadian mantap dalam diri anak-anak kita seperti program-program NAZIM dan KRIM anjuran ISMA. Inilah sedikit sebanyak yang boleh kita lakukan dalam menyempurnakan tugas sebagai seorang ibu yang merupakan pendidik ummah beragenda.
Sebagai seorang anak pula, wajiblah kita menghormati dan menyayangi kedua ibubapa kita, kerana peranan yang mereka mainkan dan pengorbanan serta keluh kesah yang mereka tempuh telah banyak mendewasakan kita. Janganlah kita berdendam sekiranya mereka pernah membuat kesilapan sewaktu membesarkan kita, kerana peristiwa-peristiwa tersebut adalah suatu hikmah yang dapat kita jadikan panduan dan pedoman untuk generasi seterusnya.
Sepertimana kita mahukan penghargaan serta kasih sayang daripada anak-anak kita, seperti itulah juga harapan ibubapa kita daripada kita. Oleh itu, sempurnakanlah tanggungjawab kita terhadap mereka selagimana mereka masih ada bersama kita. Ketahuilah, kehadiran seorang ibu adalah suatu yang amat bernilai bagi seorang insan, kerana setelah perginya ibu kita dari dunia ini, maka kita kehilangan buat selama-lamanya sesuatu nikmat yang sungguh berharga dan tiada galang gantinya, yakni doa dan keredhaan seorang ibu.
Ibu Pendidik Ummah Beragenda
Daripada
Media Wanita ISMA
sumber dari: wanitaisma.net
No comments:
Post a Comment