Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi:
Kecekalan, kesabaran mendidik jadi sumber motivasi kepada murid
Perubahan zaman dan kemajuan teknologi tidak pernah mengubah tugas dan jasa guru mendidik dan membekalkan ilmu kepada seluruh murid.
Tugas guru pada masa ini pula semakin mencabar sekali gus memerlukan kreativiti dan inovasi untuk memastikan pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan kepada murid selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Untuk menggambarkan pengiktirafan kepada jasa guru, pada 16 Mei setiap tahun, Kementerian Pendidikan menganjurkan sambutan Hari Guru yang diisi dengan pelbagai program yang menjurus kepada penghargaan kepada guru.
Dari perspektif murid pula, selain mengajar subjek yang berkaitan, guru juga dianggap rakan dan teman untuk berbincang dan meluahkan perasaan, khususnya berkaitan dengan perkembangan diri.
Murid cemerlang Tahun Enam, Sekolah Rendah Seri Bintang Selatan, Siti Umairah Mohd Ja’afar, berkata sambutan Hari Guru memang dinantikan dia dan rakan-rakan kerana pelbagai aktiviti dirancang untuk memeriahkan sambutan.
“Antaranya, murid diberi peluang untuk mengundi guru kesayangan mereka sebagai salah satu pengiktirafan khas seperti anugerah guru penyayang dan anugerah guru kreatif.
“Bagaimanapun, ia sekadar sambutan kerana seharusnya murid menyayangi semua gurunya,” katanya yang bercita-cita menjadi arkitek.
Murid Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Jaya, Praveen Nair, 16, berkata guru hari ini lebih terbuka dengan murid sehingga memudahkan pemahaman dalam akademik dan kokurikulum.
“Saya dapat membayangkan betapa sukarnya kerjaya sebagai guru yang harus mengajar pelbagai subjek khusus.
“Lebih-lebih lagi, dengan aplikasi teknologi baharu yang berdaya saing, seseorang guru juga harus mempunyai motivasi tinggi untuk berdepan dengan pelbagai kerenah pelajar,” katanya.
Kerjaya mulia
Turut bercita-cita menjadi guru, Tee Ke Ran, 16, bagaimanapun mengakui kerjaya itu tidak semudah yang disangka kerana pelbagai tugasan seolah-olah bekerja sepanjang masa.
“Kalau hendak diikutkan, kerjaya guru tidak menawarkan pendapatan lumayan berbanding bidang profesional lain. Pun begitu, kerjaya mulia ini mempunyai tarikan tersendiri yang mampu melahirkan pemimpin masa hadapan negara.
“Falsafah tidak kenal erti lelah dalam mendidik murid inilah yang membuatkan guru dipandang tinggi,” katanya.
Azmierul Hakkem Azmi, 15, berkata guru hari ini bukan saja mendidik, tetapi menjadi rakan murid sepanjang masa.
“Setiap guru memainkan peranan cukup besar membimbing murid menjadi generasi yang berdaya saing pada masa depan.“Mereka bukan saja membantu murid yang lemah dalam mata pelajaran, malah menjadi pendengar yang paling setia,” katanya.
Kagum dengan semangat kental guru yang tidak pernah kenal erti putus asa, Celina Kan Zhi Hui, 12, berkata dia sentiasa menjadikan sikap sabar dan bertanggungjawab guru sebagai pembakar semangat untuk cemerlang dalam pelajaran.
“Melihat pengorbanan guru yang terus bersemangat mengajar, ia menambah motivasi untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam kelas.“Tidak semua orang boleh menggalas tanggungjawab sebagai guru, lebih-lebih lagi mengawal kelakuan murid,” katanya yang kagum dengan kegigihan guru.
Syasmeen Anshary, 16, berkata guru tidak terkecuali berdepan cabaran baharu bagi merangka modul pembelajaran terbaik untuk diterjemahkan kepada pelajar.
“Setiap guru mempunyai cara tersendiri yang dapat menarik minat pelajar. Saya sendiri mengagumi cara cikgu Lim Fice Tine mengendalikan subjek Bahasa Melayu dalam kelas.
“Kesabaran guru yang tekun mendidik pelajar sentiasa menjadi sumber motivasi buat saya untuk belajar bersungguh-sungguh,” katanya.
Rangka pelbagai program
Mengakui yang tugasan sebagai guru tidak terhad mendidik pelajar, Sean Wong Jun Xian, 16, berkata dia menyedari guru turut berperanan besar dalam merangka kecemerlangan akademik murid dan sekolah.
“Dulu saya ingat guru akan turut bercuti seperti mana murid di musim cuti sekolah, sebaliknya mereka perlu ke sekolah bagi merangka pelbagai program untuk membentuk kecemerlangan pendidikan murid.“Hanya yang istimewa mampu mampu bergelar guru lebih-lebih lagi berdepan ragam murid yang pelbagai.
Mengakui akan berasa sedih kerana terpaksa meninggalkan guru sekolah rendah selepas berakhirnya peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini, N Paalani Veel, 12, bagaimanapun akan tetap menghargai setiap pengorbanan dan tunjuk ajar guru dalam mendidik menjadi salah seorang murid cemerlang.
“Selain sudah memberikan pengajaran terbaik sepanjang sesi persekolahan biasa, guru masih lagi mengajar kelas tambahan selama sejam untuk memastikan kami mendapat lebih manfaat dalam setiap subjek,” katanya yang bercita-cita menjadi doktor pakar.
sumber dari: bharian.com.my/bharian/
No comments:
Post a Comment