Gerakan anti-sahabat Rasulullah dimulai oleh Abdullah ibn Saba’ (Ibn Saba’) yang berasal dari kota Sana’a, Yaman. Dia adalah seorang bangsa yahudi yang menganut islam pada zaman Uthman tetapi tidak memperbaiki keislamannya.
Saidina Uthman bin Affan diangkat menjadi Khalifah selepas Khalifah Umar bin Khatab dibunuh oleh Abu Lu’lu Al-Majusi . Ketika itu, berlaku pergolakan dan keresahan di kalangan umat Islam. Dengan ketegasan sikap dan kebijaksanaan Uthman, suasana pemerintahan dapat dikendalikan dengan aman dan ramai yang memeluk islam termasuk seorang pemuda Yahudi dari Yaman bernama Abdullah bin Saba’.
Bagaimanapun, Abdullah bin Saba’ mempunyai tujuan lain untuk memeluk Islam. Dia berharap Khalifah selaku pemerintah negara Islam akan memberi penghormatan kepadanya dengan diberikan jawatan kedudukan tinggi dalam kerajaan. Bagaimanapun Khalifah Uthman menolak dan berkata;
“Aku hanyalah pelayan umat, aku diangkat menjadi Khalifah bukan atas keinginan aku, tetapi kesepakatan umat Islam”.
Khalifah Uthman berkata lagi,
“Tidakkah tuan tahu bahawa jawatan bukan satu kehormatan, tetapi satu amanah. Apakah tuan sanggup memikul amanah itu, sedangkan tuan baru memeluk Islam dan lebih daripada itu tidak layak sesuatu kedudukan diminta atau diminati kerana Allah yang memberi atau mencabut kedudukan seseorang”.
Oleh itu Abdullah bin Saba’ kecewa dan menyimpan dendam kepada Khalifah Uthman, umat Islam dan Agama Islam. Maka, antara dakyahnya ialah menabur fitnah dan menimbulkan keraguan kepada orang Islam. Beliau mengatakan bahawa pewaris Nabi dan Khalifah yang sah adalah Saidina Ali bin Abi Talib, bukannya Abu Bakar, Umar, Uthman atau sahabat-sahabat lain. Dia menjelajah ke seluruh tempat untuk menyebar fitnah dan pengaruhnya tersebar luas ke Mesir, Kufah dan Basrah. Untuk menyakinkan orang ramai akan kata-katanya dan bukannya atas kepentingan diri sendiri, beliau mengguna dan menjaja nama Saidina Ali dan keluarga Rasulullah s.a.w (ahlul bait). Kononnya hujah-hujah beliau adalah datangnya dari mulut Saidina Ali dan Rasulullah sendiri.
Beliaulah juga orang yang terawal meletakkan Saidina Ali ke tahap yang lebih tinggi dari Rasullullah s.a.w. Beliau pernah berkata,” Sesungguhnya yang menjadi Nabi pilihan Allah adalah Ali bin Abi Talib. Hanya kebetulan pada ketika itu malaikat Jibrail mengantuk sehingga wahyu Allah diberikan kepada Muhammad, iaitu orang yang tidak berhak”.
Mendengar berita itu, Ali bin Abi Talib sangat marah, dan ketika beliau diangkat menjadi khalifah keempat mengganti Uthman, beliau memerintahkan Abdullah bin Saba’ diusir dari Madinah. Tidak berhenti setakat itu, Abdullah bin Saba’ tetap meneruskan untuk memporak peranda sesama kaum muslimin serta hubungan Saidina Ali dan para sahabat yang lain secara halus.
Hakikatnya Abdullah bin Saba’ serta pengikut-pengikutnya bukanlah penyokong tulen atau syiah Saidina Ali tetapi berpura-pura menjadi pengikut kuat Saidina Ali dan Ahlul Bait. Beliau juga mempunyai ramai pengikut yang dikenali sebagai Sabaiyyah juga tergolong sebagai orang-orang munafik yang lagaknya seperti orang Islam yang taat dan menyelinap dalam tentera Ali. Golongan Sabaiyyah ini lah yang menjadi punca berlakunya Perang Jamal.
Bagi golongan sunni, Ibn Saba’ atau Sabaiyyah adalah perintis kepada perpecahan umat Islam dan seterusnya mendorong kepada beberapa pecahan ummah termasuk kemunculan fahaman syiah. Beliaulah sebagai tokoh berperanan utama yang menyelipkan pemikiran-pemikiran sesat dalam ajaran syiah.
Kitab-kitab Syiah seperti Syarh Nahjul Balaghah Li Ibn Abil Hadid ada menceritakan berkenaan Ibn Saba’ walaupun terdapat golongan syiah yang menafikan kewujudan seseorang yang bernama Ibn Saba’ atau Abdullah bin Saba’.
sumber dari: malaysiaria.com.my/
No comments:
Post a Comment