Akidah yang lemah dalam kalangan Masyarakat Islam kini menyebabkan Syiah semakin menular di Malaysia.
Menurut Timbalan Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia cawangan Kedah (ABIM), Ustaz Abdullah Din, penularan Syiah di Malaysia berpunca daripada akidah yang kurang dan salah faham yang berlaku, disebabkan kurangnya penghayatan mengenai Islam dalam masyarakat.
“Pengamal Syiah mudah memesongkan akidah individu yang lemah iman dengan menggunakan ayat Al-Quran dan hadis-hadis yang diriwayatkan perawi hadis”, kata Abdullah.
Misalnya salah faham mengenai hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari yang mana perkataan khalifah digantikan dengan ‘imam’ sehingga menyebabkan individu terpedaya dan menyangka hadis tersebut merujuk kepada 12 imam yang termaktub dalam ajaran Syiah.
Selain itu, Abdullah turut menjelaskan mengenai medium yang digunakan oleh pengamal syiah untuk meluaskan pengaruh serta memperdaya umat islam.
“Pengamal syiah menggunakan buku untuk menyebarkan dakyah mereka. Buku tersebut memuatkan mengenai hujah-hujah yang terpesong dari landasan Islam yang sebenar dan disebarkan secara percuma di tempat-tempat tertentu di Malaysia”, tambah Abdullah lagi, dalam ceramahnya yang bertajuk Serangan Akidah, Bahaya Syiah anjuran Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Sains Malaysia (PMIUSM) bertempat di Dewan Kuliah Sains Kemasyarakatan USM.
Antara tajuk buku tersebut adalah seperti Ku Temui Kebenarannya dan Dialog Sunnah Syiah yang telah ditukar tajuknya kepada Dialog Mengenai Islam dan Akidah Islam yang Sebenar.
Abdullah juga menyeru masyarakat supaya menghayati dan mengamalkan ajaran Islam yang sebenar serta mendapatkan bantuan atau maklumat jika didekati pengamal Syiah, bagi mengelakkan daripada terpedaya dengan pembohongan yang telah dilakukan mereka.
Pengarah projek Serangan Akidah Bahaya Syiah, Ahmad Sobri Shaari berkata, tujuan ceramah ini diadakan adalah untuk mendedahkan siswa-siswi USM tentang pencinta Ahlul Bait yang sebenar di samping memberi maklumat mengenai ajaran Syiah supaya siswa-siswi berhati-hati agar tidak terjebak dengan Syiah.
“Pengamal Syiah kini cuba untuk memasuki minda masyarakat terutamanya siswa-siswi agar mengikuti dan mengamalkan Syiah yang ternyata terpesong dari landasan Islam yang sebenar”, tambah Sobri.
Norain Afiqah Mohamad Nasir, Sains Kemasyarakatan 3, pula berpendapat ceramah ini sangat berguna dalam memahami penularan Syiah di Malaysia.
“Intipati yang penting dalam menangkis agenda Syiah dikongsi dalam ceramah ini dan dapat membina keyakinan dalam diri siswa-siswi bagi mendepani persoalan-persoalan tersirat ajaran Syiah”, kata Afiqah lagi.
sumber dari: beritakampus.usm.my/
No comments:
Post a Comment