Berikut adalah teks khutbah Jumaat 6 April 2012 untuk seluruh masjid negeri Selangor yang telah dikeluarkan oleh JAIS. Tahniah kepada JAIS di atas kandungan khutbah dan mengetengahkan isu yang penting ini.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan penuh ketaatan, keyakinan dan keikhlasan. Iaitu dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa seterusnya selamat dan berjaya di dunia serta di akhirat.
Pada hari yang mulia ini marilah kita sama-sama menghayati khutbah yang bertajuk: “Penyelewengan Syiah Di Malaysia”.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Kita telah dengar dan mengetahui beberapa siri serbuan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap markaz perkumpulan yang menganut fahaman Syiah. Fahaman Syiah telah lama diwarta dan difatwakan kerana bercanggah dan menyeleweng daripada Ahli Sunnah wal Jamaah di negeri-negeri seluruh Malaysia. Di Selangor, fatwa pengharaman Syiah telah dikeluarkan pada 14 Februari 1998 yang menyatakan bahawa;
“Fahaman dan ajaran Syiah adalah bercanggah dan menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Fahaman dan ajaran ini perlu disekat keseluruhannya. Terdapat beberapa percanggahan di dalam fahaman tersebut sama ada dari sudut aqidah, syariah dan lain-lain”.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Syiah ialah satu mazhab yang mendakwa Saidina Ali sebagai pengganti Nabi Muhammad s.a.w yang sah dan lebih utama daripada para sahabat lain. Golonga Syiah merendah-rendahkan kedudukan para sahabat Nabi s.a.w serta mengkafirkan mereka terutamanya tiga khalifah al-Rasyidin iaitu Saidina Abu Bakar R.A, Saidina Umar R.A dan Saidina Uthman R.A.
Ringkasnya, Syiah memperkatakan sesuatu yang tidak layak serta merendahkan kedudukan khulafa al-Rasyidin, para sahabat dan sebahagian isteri-isteri Nabi s.a.w. Inilah perkara pokok yang membezakan golongan Syiah daripada golongan-golongan Islam yang lain terutamanya Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Ulama’ terkenal, Syeikh Sa’id Hawwa dalam sebuah risalahnya berkaitan Syiah menyenaraikan beberapa penyelewengan mereka. Antaranya ialah:
Pertama : Syiah percaya bahawa para imam mereka adalah maksum sehingga mengatasi Nabi dan bebas daripada dosa atau tidak berdosa. Menurut Syiah lagi, para Imam Syiah bebas daripada kesalahan, ghaflah (lalai) dan lupa sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja serta kedudukan imam itu mengatasi kedudukan kenabian.
Perkara ini menurut ulama Syiah adalah ijmak atau kesepakatan golongan terdahulu dan terkemudian Syiah. Oleh kerana itu para imam Syiah mempunyai kuasa mutlak dan hak serta pemilihan dalam menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.
Kedua : Syiah percaya bahawa al-Quran yang wujud di tangan kaum muslimin pada hari ini telah mengalami perubahan. Perkara ini diakui oleh ulama mereka seperti al-Kulaini dan Muhammad Baqir al-Majlisi dalam karangan mereka. Syiah mendakwa mereka memiliki al-Quran yang disebut sebagai “Mashaf Fatimah” dan ianya tiga kali ganda banyaknya daripada al-Quran yang kita miliki.
Ketiga : Syiah tidak mengiktiraf hadis-hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh kebanyakan para sahabat seperti Abu Hurairah R.A, Samrah bin Jundub R.A, Amr bin al-Ass R.A dan sebagainya. Menurut Syiah, umat Islam telah kufur selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w kecuali tiga atau empat orang sahabat iaitu al-Miqdad bin al-Aswad R.A, Abu Dzar al-Ghifari R.A dan Salman al-Farisi R.A. kerana mereka tidak berpegang dan tidak mempercayai hadis-hadis yang diriwayatkan oleh para sahabat bahkan meletakkan hadis-hadis tersebut dalam kelompok hadis-hadis palsu. Syiah hanya menerima hadis-hadis yang diriwayatkan oleh ahli al- bait atau kerabat Nabi s.a.w sahaja.
sumber dari: akarimomar.wordpress.com/
No comments:
Post a Comment