Kurang dari 48 jam, aku akan terbang bersama pesawat MH129 dari Kuala Lumpur menuju ke Tullamarine Airport, Melbourne Australia. Sesampai aku di sana nanti akan disambut oleh salah seorang kenalan blogger DBI yang baru beberapa bulan berhijrah bersama keluarga beliau. Keesokan paginya, aku perlu bergegas menuju ke Tullamarine sekali lagi untuk menaiki pesawat Pacific Blue DJ62 menuju ke Christchurch, New Zealand dan akan berada di bumi Kiwi itu selama 16 hari. Penghujung kembara di New Zealand akan berakhir di kota Auckland (ambil peluang bertemu sahabat karib yang sudah berbelas tahun tidak ketemu, si blogger Ahau-Dee), dan seterusnya aku akan terbang menuju ke Australia semula untuk menikmati penghujung musim luruh/awal musin sejuk di kawasan pantai Gold Coast sebelum pulang semula ke Melbourne untuk menaiki pesawat MH128 menuju ke Kuala Lumpur dan seterusnya ke bumi Borneo. Begitulah mukaddimah ringkas rihlah aku pada tahun ini, seperti kebiasaannya bersempena menyambut hari lahir dan seperti biasa juga aku mengembara secara solo.
Dengan menularnya wabak flu N1H1, ramai yang memberikan pendapat supaya aku tangguhkan dahulu rihlah pada kali ini. Risau memang ada, tetapi aku berusaha untuk meminimakan risiko jangkitan. Banyak artikel boleh didapati di internet mengenai langkah-langkah pencegahan dan kerajaan New Zealand juga telah memberikan assurance bahawa penyakit itu terkawal di sana dan negara tersebut selamat untuk dikunjungi. Sila rujuk kepada laman ini New Zealand Government.
Peta di atas menunjukkan route yang akan aku lalui sepanjang kembara di New Zealand nanti. Mudah-mudahan aku mempunyai banyak masa terluang untuk mencatat segala kenangan semasa di sana melalui blog Tepak Sireh ini. Itinerari ini aku siapkan dalam masa beberapa bulan, dan cuma 2 minggu terakhir ini segala tiket, mod pengangkutan, tempat penginapan, tempat makanan halal (click here for NZ Halal Directory), masjid dan waktu solat (click here for masjid and other Islamic related information in New Zealand) dan sebagainya berjaya dikemaskini dan confirmed. Kembara kali ini pasti amat mengujakan, selain menaiki beberapa buah kapal terbang, aku juga bercadang untuk menaiki bot, kapal persiaran, keretapi, feri dan kuda selain dari Magic Bus yang akan membawa aku di sepanjang perjalanan yang bermula di Christchurch dan berakhir di Auckland.
Aku mengambil kesempatan untuk bermalam di Gold Coast dalam perjalanan pulang dari New Zealand ke Australia. Percutian singkat kurang lebih 24 jam di Gold Coast nanti pasti mencabar minda dan kreativiti aku untuk memaksimakan masa yang ada dengan pelbagai tarikan yang pastinya sungguh mengujakan. Memandangkan aku pernah ke Melbourne sebelum ini iaitu sekitar penghujung Mei 2005, juga bersempena menyambut hari lahir (Blue Mountain yang dingin meninggalkan kenangan tersendiri), aku cuma jadikan kota metropolitan ini sebagai titik transit.
Sepertimana dua tahun berturut-turut sebelum ini, aku menemukan kedamaian dan ketenangan yang terlalu istimewa dan indah di kota Makkah dan Madinah. Semoga rihlah di bumi di mana orang Māori menggelarkannya Aotearoa ini juga akan menemukanku akan ketenangan dan kedamaian dalam pada menikmati serta mensyukuri nikmat Allah. Doakan kesejahteraan dan keselamatan aku di sepanjang perjalanan ini nanti.......
sumber dari: tepaksirehblog.com
No comments:
Post a Comment