Setiap kali musim cuti sekolah bermula, pasti ramai ibu bapa yang mempunyai anak lelaki akan merancang untuk mengkhatankan anak mereka.
Berkhatan atau bersunat bagi masyarakat Melayu khususnya yang beragama Islam merupakan proses yang wajib dilalui sebelum kanak-kanak membesar.
Bagi ibu bapa sendiri, sudah tentunya ingin memberikan kaedah terbaik buat anak lelaki mereka untuk berkhatan.
Meskipun di zaman ini kebanyakan ibu bapa, terutama yang tinggal di bandar lebih gemar memilih untuk melakukan majlis berkhatan secara moden, namun masih ada lagi segelintir mereka yang berminat mengamalkan kaedah tradisional.
Perkara ini turut diakui seorang tok mudim, Idrus Abd Wahab, 46, yang mewarisi kerjaya mengkhatan daripada moyang, datuk dan bapanya.
Mengakui kaedah tradisional ada keunikan dan keistimewaannya yang tersendiri, Idrus berkata, masih ramai lagi ibu bapa yang memilih untuk mengekalkan tradisi itu dan mempercayai tok mudim.
“Walaupun pelbagai kaedah moden yang ada pada masa kini seperti laser dan gunting, namun masih ada lagi golongan yang lebih gemar meneruskan tradisi berkhatan melalui kaedah tradisional.
“Saya sendiri pernah mengkhatankan anak-anak golongan korporat dan ada juga dalam kalangan doktor yang memilih tok mudim untuk mengkhatankan anak mereka,” katanya kepada Sinar Harian.
Idrus berkata, kaedah tradisional masih lagi dipercayai kerana teknik memotong yang digunakan adalah menggunakan pisau.
Selain itu, katanya, cara komunikasi mesra yang masih diamalkan oleh tok mudim juga membantu proses berkhatan bagi mengelakkan kanak-kanak berasa takut.
“Bagi jangka masa panjang, penggunaan pisau akan membuatkan urat menjadi cekang dan mengelakkannya kendur.
“Mungkin atas sebab itulah yang membuatkan ramai ibu bapa lagi yang masih menggemari kaedah tradisional,” katanya lagi.
Idrus ditemui semasa majlis berkhatan perdana 2012 anjuran Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Baru, Alma, di sini.
sumber dari: sinarharian.com.my
No comments:
Post a Comment