Pages

Friday 10 May 2013

kenapa berdoa itu penting dalam hidup mukmin






“Umat Islam digalakkan berdoa untuk kebaikandi dunia dan di akhirat. Manusia hanya mampu berusaha, segala ketentuan adalah daripada Allah S.W.T. Memohon sesuatu daripada Allah hendaklah disertai dengan perasaan insaf,  jujur, dan ikhlas supaya mendapat petunjuk dan hidayahNya.” –   Al-Baqarah; 201.

Setiap manusia yang menginginkan ketenangan, kebahagian dan kesenangan hidup hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah S.W.T kerana dengan izinNya, tidak mustahil segala hajat akan tercapai disusuli dengan usaha dan tawakal.

Namun, terkadang itu manusia mudah alpa dan kerap kali lari dari menunaikan tanggungjawab untuk berdoa kepada Yang Maha Esa. Malah, kepentingan berdoa sebagai sebahagian inti pati kehidupan juga sering dipandang ringan dan dianggap perkara yang remeh.

Hakikatnya, kepentingan berdoa merupakan salah satu bentuk komunikasi seseorang hamba dengan Raabnya (Tuhannya) dan juga satu bentuk hubungan yang mujarab bagi mendekatkan diri dengan Pencipta.

Doa adalah permohonan seseorang hamba kepada Raabnya untuk memohon perlindungan (inayah) dan pertolongan (ma’unah). Hakikat doa adalah ekspresi ketidakmampuan dan kefakiran kepada Allah SWT, serta ikrar bahawa tidak ada kekuatan dan daya kecuali dengan pertolongan Allah S.W.T. Ia merupakan simbol daripada penghambaan serta merasakan diri hina dan lemah sebagai manusia di hadapan Allah S.W.T.

Doa juga merupakan pujian kepada Allah S.W.T, dengan menyandarkan seluruh bentuk kebaikan dan kemuliaan hanya kepadaNya sehingga Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud ” Doa adalah ibadah” . Begitulah peri pentingnya peranan doa dalam kehidupan seorang Muslim.

Berdoa sentiasa dianjurkan oleh Allah S.W.T seperti mana firmanNya:

“Berdoalah kepadaKu nescaya akan Ku perkenankan.”

Maksudnya, apabila seorang Muslim memanjatkan sesuatu doa kepada Allah S.W.T yang di dalamnya tidak ada dosa dan pemutusan tali silaturahim, maka Allah S.W.T akan memberinya satu di antara tiga; Allah S.W.T langsung mengabulkan doanya; Allah S.W.T akan menyimpannya untuk orang tersebut di akhirat; dan Allah SWT akan menjauhkan kejahatan atau keburukan dari orang tersebut yang setimpal dengan doanya.

Bagaimanapun, terdapat juga doa-doa yang tidak dimakbulkan oleh Allah S.W.T seperti doa daripada orang-orang yang melakukan maksiat, doa yang sentiasa dengan perasaan riak serta memohon doa yang dilarang oleh agama.

Hikmah berdoa yang digariskan dalam Islam itu terlalu luas untuk di dalami oleh setiap manusia. Doa yang jujur dan ikhlas itu supaya Allah memakbulkan doa untuk keberkatan hidup. Berdoa juga dapat mendidik diri manusia sentiasa mengingati Allah tidak kira dalam keadaan susah mahu pun senang.

Oleh itu, setiap umat Islam itu hendaklah sentiasa berdoa untuk keredhaan hidup di duna dan akhirat. Allah menegah setiap dari kita berdoa sahaja tanpa usaha dan tawakal untuk membolehkan kita mencapai setiap perkara yang dihajati.



sumber dari: luvislam92.blogspot.com

No comments:

Post a Comment