Sebaiknya hari-hari adalah hari ibu. Ibu kita layak diraikan pada tiap hari. Apa yang ibu kita berikan kepada kita, tidak akan pernah dapat kita balas dengan wang ringgit atau seumpamanya. It is priceless.
Sejujurnya, saya tidak tahu bila hari ibu. Tambahan lagi, sememangnya ibu saya lahir pada bulan Mei. Jadi, saya teruskan sahaja sambut hari lahir ibu pada bulan Mei. Adakalanya setelah berjauhan dengan ibu kerana belajar, saya akan mula rasa nikmat bestnya dapat makan hasil tangan ibu tiap hari.
Di situlah saya mula menghargai keberadaan ibu di sisi. Berikut saya kongsikan tip meraikan ibu yang saya biasa buat.
1. Ucapkan Terima Kasih
Terima kasih adalah 2 patah perkataan yang mempunyai makna yang terdalam. Ia adalah antara tanda kesyukuran dan penghargaan. Tiap kali ibu membuat sesuatu untuk kita, atau untuk keluarga, ucapkan terima kasih.
Contoh, selepas ibu siapkan sarapan pagi, makanan tengah hari dan malam.
Tidak kurang juga apabila ibu kejutkan kita bangun Solat Subuh. Ya. Mungkin adakalanya kita berasa malu untuk ucapkannya. Tetapi, ia adalah perkataan yang bakal membuat ibu kita rasa dihargai.
2. Minta Maaf
Tiap daripada kita tidak terlepas daripada melakukan kesalahan. Kita mungkin tidak sedar, kita sedang mengecilkan hati ibu kita. Saya sering kali mengungkapkan kata maaf kepada ibu sebelum saya pulang ke kampus.
Agar hati saya lebih lapang. Hati wanita adalah hati yang lembut dan sensitif. Runtuhkan dinding-dinding keegoan dengan meminta maaf kepada ibu, terutamanya sebelum kita pulang ke tempat tinggal kita. Bagi yang tidak tinggal serumah dengan ibu.
Minta maaf, tidak semestinya menerusi sms, bicara kata. Ia termasuk kita menulis surat seolah-olah kita sedang meminta maaf kepada ibu secara LIVE. Kita menulis surat kemaafan untuk kita memaafkan dan meminta-maaf kepada ibu.
Boleh baca artikel Mula Menulis: Galakan Daripada Al Quran. Antara petikannya,
Sesungguhnya dengan penulisan, ia juga boleh dijadikan meditasi. Ia adalah medium yang boleh kita gunakan untuk berdamai dengan masa lalu. Di samping itu, dengan menulis ia dapat mengubat emosi-emosi negatif yang tersimpan dalam diri.
3. Berdoa Untuk Ibu
Ini adalah perkara asas yang penting bagi tiap anak amalkan. Ia adalah antara ciri-ciri anak soleh. Tiap masa berdoa untuk ibu kita agar sentiasa diberkati, dirahmati dan disayangi oleh-Nya.
4. Belikan Ibu Barang Dapur Atau Buah Tangan
Saya teringat post Tuan Adly Mukhtar tentang bagaimana pada umur 17 tahun, beliau sudah mampu belikan ibunya barang dapur. Ia adalah hasil pendapatan beliau bersumberkan perniagaan internet.
Bagi memudahkan ibu kita tidak perlu keluar ke pasar, belikan ibu kita barang dapur yang kering (andai tidak tahu memilih barang basah seperti ikan, sayur, ayam) apabila pulang ke rumah. Contoh barang dapur yang kering adalah susu pekat manis.
Ibu saya suka KFC. Adakalanya bawa pulang KFC pun, dia sudah gembira. Alhamdulillah. Yang penting, setidak-tidak ada sesuatu untuk dibawa pulang. Beli sebiji tembikai pun sudah memadai.
5. Beri Hadiah Skala Semut dan Gergasi
Hadiah skala semut bermakna hadiah kecil. Hadiah skala gergasi adalah hadiah besar. Andai dalam proses mampu memberikan hadiah skala gergasi, dahulukan dengan memberi hadiah kecil.
Hadiah kecil adalah signal hadiah besar.
Syukuri hadiah kecil bakal mempercepat pemberian dan kemampuan memberi hadiah besar.
6. Telefon Ibu
Andai mempunyai masa lapang, kerapkan telefon ibu tiap hari. Buat mereka yang tinggal luar negara, barangkali dalam proses membasmi isu jarak untuk menelefon keluarga di Malaysia. Namun, boleh gunakan medium teknologi. Jimat dan mudah.
Tanya khabar walau hanya sempat bercakap selama beberapa saat. Pernah ketika saya tidak pulang selama beberapa minggu, saya telefon ibu pada suatu hari. Dia mengadu dalam proses sembuh daripada demam.
Daripada situ, saya mengerti dia mahukan perhatian saya terhadapnya.
7. Katakan “Daku Sayang Kamu, Ibu”
Walau ibu jarang ungkapkannya, tetapi saya tetap mengungkapnya kepada ibu. Adakalanya pakai sms dan cakap secara berhadapan. Ibu jarang balas. Tetapi apa yang buat saya mengerti bahawa dia sayang saya adalah, apabila saya mahu pulang pada minggu itu, dia akan siap tempah durian crepe kegemaran saya.
sumber dari: insyirahazhar.com
No comments:
Post a Comment