Pages

Thursday 2 February 2012

mengawal corak pemakanan anak kita





ADALAH normal seseorang yang menyayangi perhiasan berharga miliknya akan menyimpan barangan itu dengan rapi, apatah lagi anak kita yang semestinya dibelai, dimanja dan dipelihara dengan sebaik-baiknya.

Umpama permata yang berharga, anak menjadi penawar suka dan duka kepada kedua ibu bapa, lebih-lebih lagi apabila dia membesar sebagai insan yang berguna yang dapat menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.

Maka sebab itulah, tumbesaran dan kesihatan anak sangat penting menjadi titipan dan tanggungjawab kedua ibu bapanya.

Pastikan anak anda mendapat zat dan khasiat yang diperlukan tubuhnya, supaya minda dan fizikalnya berkembang dengan baik.

Anak yang sering kali sakit atau menghidap sesuatu penyakit pastinya menyebabkan seleranya terganggu dan ini membuatkan ibu bapa berasa gelisah serta kebimbangan melihat keadaan anaknya yang semakin kurus dan kurang bermaya.

Oleh itu, mengawal corak pemakanan anak sejak dari bayi merangsang si anak mengambil pola makanan yang betul apabila dia membesar, menjadi remaja dan dewasa kelak.

Biarpun anak di awal usianya bersikap sangat memilih makanannya (selalunya kurang berminat dengan sayuran), namun ibu bapa mestilah berusaha memberikan makanan yang berzat kepada mereka dengan pelbagai cara persembahan yang menarik perhatiannya.

Untuk menjamin kesihatan anak juga, di samping makanan berkhasiat, galakkan mereka melakukan aktiviti yang boleh mengeluarkan peluh di mana dengan cara ini akan merangsang selera anak anda.

Anak anda memerlukan pelbagai nutrien iaitu karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan mineral, yang diperoleh daripada makanan yang berlainan. Itulah sebabnya anda perlu memastikan diet si manja mengandungi pelbagai jenis makanan.

Jumlah nutrien yang diperlukan juga mestilah betul untuk membolehkan mereka membesar dengan sihat dan sempurna. Pengambilan terlalu banyak atau terlalu sedikit nutrien tertentu boleh membawa kepada masalah kurang berat badan, anemia atau obesiti.

Rujuk kepada Piramid Panduan Makanan untuk Kanak-Kanak sebagai panduan terbaik memastikan anak anda mendapat khasiat pemakanan secukupnya.

Piramid Panduan Makanan menunjukkan dengan jelas jenis dan jumlah makanan yang perlu diambil setiap hari.

Fakta 1
Piramid Panduan Makanan untuk Kanak-Kanak

Tahap 1 - `perlu diambil paling banyak'.

Ia adalah makanan dengan karbohidrat kompleks yang menjadi sumber tenaga kepada badan si manja. Makanan ini juga mengandungi serat, iaitu karbohidrat tidak hadam yang membolehkan sistem penghadaman berfungsi dengan sihat.

Tahap 2 - Makan Lebih

Buah-buahan dan sayuran membekalkan vitamin (seperti vitamin A, E, C dan B), mineral (seperti zat besi, kalsium, zink) dan serat serta fitokimia iaitu antioksidan yang dipercayai dapat membantu menentang penyakit.

Tahap 3 - Makan Secara Sederhana

Ia termasuk ikan, ayam, daging, telur, pelbagai produk kekacang dan juga susu serta produk tenusu. Makanan ini kaya dengan protein, iaitu asas untuk pembentukan tisu badan serta. Protein diperbuat daripada asid amino. Badan memerlukan 22 asid amino dengan 8 daripadanya mesti dibekalkan oleh makanan harian (asid amino perlu). Susu dan produk tenusu kaya dengan kalsium dan pelbagai vitamin dan mineral.

Tahap 4 - Makan Paling Sedikit

Iaitu lemak, gula dan garam. Lemak membekalkan tenaga, vitamin larut lemak dan asid lemak perlu. Bagaimanapun, si kecil anda hanya memerlukan sedikit lemak. Jadi, pengambilan lemak secara berlebihan boleh menyebabkan berat badannya meningkat.

Perlu diingat masakan di rumah adalah yang terbaik. Makanan yang dimasak di rumah selalunya lebih sihat dan berkhasiat kerana anda boleh menambah sayur serta buah, di samping mengurangkan minyak dan lemak. Anda juga boleh memesan sajian yang disediakan dengan cara lebih sihat ketika makan di luar. 




No comments:

Post a Comment