rawatan terbaik penyakit riak
Rawatan terbaik bagi segala penyakit di muka bumi ini adalah menghindari dengan menjauhi sebab-sebabdan punca terjadinya penyakit. Begitu jugalah kepada penyakit riak ini, iaitu menjauhi sebab-sebab yang boleh membawa kepada perasaan itu, antaranya ialah;
1- Sifat suka dipuji oleh orang lain. Sifat ini akan membawa kepada bangga diri dan suka menunjuk-nunjuk kelebihan kepada orang lain.
2- Takut dikritik atau dicerca oleh orang lain. Ketakutan ini boleh membawa kepada penampilan yang kurang jujur dan suka berpura-pura.
3- Cintakan kehidupan dan kemewahan dunia dan lupa pada kematian. Seseorang itu melakukan segala pekerjaan adalah semata-mata kerana untuk menarik perhatian orang lain, dan menganggap dirinya hebat. Manusia sebegini mengharapkan ganjaran atas segala pekerjaan yang dilakukan.
Setelah mengetahui sebab-sebab yang menjadi punca riak, mari kita lihat bagaimanakah cara untuk menghindarinya. Terdapat beberapa cara untuk menghindari sifat riak daripada menguasai hati;
1- Sentiasa mengingatkan diri sendiri tentang perkara yang diperintahkan Allah dan juga sering menyucikan hati dengan melakukan ibadat-ibadat khusus seperti zikir dan membesarkan kekuasaan Allah.
2- Mengawasi diri agar sentiasa takut akan kemurkaan Allah. Dengan tabiat ini akan membawa diri agar sentiasa berwaspada dalam melakukan perkara yang boleh mengheret kepada dosa dan seksaan Allah pada hari akhirat kelak.
3- Berwaspada terhadap perkara-perkara yang boleh menghapuskan pahala amalan yang dilakukan akibat riak.
4- Menanamkan dalam diri perasaan bahawa melakukan sesuatu itu kerana manusia sehingga membawa kemurkaan Allah itu adalah suatu perkara yang buruk dan patut dijauhkan.
5- Sentiasa mengawasi diri daripada lalai terhadap ujian dan nikmat yang dikurniakan Allah untuk menghampirkan diri kepada Allah.
6- Ikhlaskan diri dalam setiap amalan yang dilakukan.
Apabila berasa suka dipuji dan diberi penghargaan setiap kali membuat sesuatu perkara yang baik dan berasa terhina apabila ditegur, maka inilah tanda wujudnya sifat riak. Adakalanya terdapat jugaorang yang melakukan amal kebajikan dengan niat ikhlas kerana Allah, namun dia mendapat mendapat perhatian daripada orang lain atas amalannya. Keadaan ini tidak diambil kira sebagai riak kerana dia sememangnya niat dengan ikhlas pada awalnya. Namun untuk melakukan satu-satu ibadat pada permulaannya memang akan timbul perasaan riak dan rasa bangga diri, namun apabila amal itu sering dilakukan dan berterusan dengan niat ikhlas pastinya perasaan riak itu akan terhapus sedikit demi sedikit.
Janganlah takut untuk pergi ke masjid, mendengar tazkirah, menunaikan solat jemaah dansebagainya kerana takut akan dikatakan riak sedangkan dengan riak itulah akan mendorongdan menggalakkan kita untuk beramal dan meningkatkan ibadat. Tetapi jangan biarkan perasaan riak itu terus menerus menguasai diri kerana apabila ada riak dalam setiap amalan maka amalan yang dilakukan adalah sia-sia belaka.
Wallahua’lam
No comments:
Post a Comment