Amaran memberi kesan kepada anak. Dan jika kita bijak dalam memberi amaran, anak akan hormati dan besar kemungkinan akan tinggalkan perbuatannya yang dilarang tadi.
Sebenarnya, anak bukanlah faham hal itu baik atau tidak. Jika anak tahu sekalipun, kadangkala anak terlupa. Ingatan jangka panjangnya masih belum lagi terbentuk ketika ini. Jadi, amaran adalah langkah yang digunakan untuk menguatkan ingatan anak terhadap hal-hal yang baik dan tidak baik.
Bagaimana cara dan langkah-langkah yang baik dalam memberi amaran kepada anak?
Langkah Pertama: Amaran yang Tepat
Memberi amaran yang betul-betul tepat dan sesuai dengan kesilapan anak.
“Kalau Abdullah masih baling-baling mainan tu kat adik, umi letak semua mainan tu kat atas almari”.
Jika anda tidak terjangkau untuk meletakkannya di atas almari, maka cuba untuk memberitahu yang anda akan simpan mainan itu hari ini, dan anak tidak dapat bermain mainannya pada hari ini.
Langkah kedua: Ulang Semula Tindakan
Jika amaran anda tidak dihiraukan, maka anda perlu sabar dan ulang semula kepada anak.
“Umi letak mainan Abdullah kat atas almari ni sebab Abdullah baling mainan kat adik”
Apabila anda bertindak memberitahu hal ini kepada anak, maka anak anda mampu menghubungkan kesilapannya dengan tindakan anda. Jadi, tidak perlulah cakap berjela-jela. Cukuplah ringkas dan tepat, yang penting maksud itu sampai kepada anak.
Langkah ketiga: Bertindak Segera
Seperti yang kita semua sedia maklum, anak kecil masih lagi tidak mempunyai kemampuan mengingat jangka panjang. Apabila anda memberi amaran untuk tidak akan belikannya coklat pada malam nanti ketika keluar shopping, sedangkan waktu kesalahan yang dibuat itu adalah waktu pagi, ia bukanlah suatu tindakan yang berkesan.
Jadi pastikan anda disiplin dalam memberi amaran, bertindak selepas sahaja kesalahan itu dilakukan, bukan menunggung 3-4 jam selepas itu.
Langkah keempat: Mengulangi Amaran (Secara Halus)
Setelah beberapa waktu, sebutkan kembali kepada anak jika anak masih muram atau sedih dengan akibat tindakannya itu.
“Abdullah tahu kan, umi letak mainan Abdullah kat atas almari tu supaya Abdullah ingat, tak boleh baling adik dengan permainan, nanti adik sakit.”
Jika anak sudah mula bercakap, cuba tanyakan kepada anak anda,
“Abdullah tahu kenapa umi simpan mainan tu kat atas?”
Membenarkan anak menjawab akan menimbulkan kesedaran dalaman, kesedaran yang datang darinya sendiri. Kadangkala, bila umur anak mencecah 3 tahun, ibu sendiri yang perlu menjawabnya. =)
Langkah kelima: Maafkan dan Lupakan (Forgive and Forget)
Selepas tindakan disiplin diambil, maafkan anak anda, dan lupakan kesalahannya. Bukankah Islam mengajar begitu? Bertindaklah sewajarnya selepas fasa tersebut. Cubalah sedaya upaya agar kita bertindak dengan rasional dan elakkan pembawaan emosi yang berlebih-lebihan.
Amaran bukanlah suatu perkara yang perlu dilakukan selalu.
Malah, lebih baik jika dapat mengelakkannya.
Namun, ada kalanya ibu perlu tegas dengan anak-anak agar mereka faham hal yang salah dan hal yang baik. Maka, berilah amaran dengan rasional dan bijaksana. Amaran bukanlah tindakan untuk menakut-nakutkan anak.
Akan tetapi ia adalah tindakan untuk mendisiplinkan anak.
Wallahua’lam
No comments:
Post a Comment