Pages

Friday 16 September 2011

ulam mendatang

“Pucuk dicita Ulam Mendatang”. Begitulah ungkapan pepatah melayu yang menunjukkan kepentingan pucuk dan ulam dalam kehidupan suatu masa dahulu.

Apakah pucuk dan ulam itu berbeza? Ulam ialah sayur-sayuran yang dimakan mentah, dicelur atau direbus sebelum dimakan.

Ulam diambil dari berbagai-bagai bahagian sesuatu pokok yang boleh dimakan. Ini termasuklah pucuk, daun, umbut, biji, buah, ubi dan bahagian bunga. Biasanya ulam-ulam dicicah dengan sambal belacan, budu atau cencaluk dan dimakan bersama nasi sebagai pembuka selera. Selain itu, ulam-ulam tradisional ini juga boleh dijadikan sebagai bahan dalam penyediaan nasi ulam atau nasi kerabu.

Memakan ulam-ulaman ialah suatu amalan yang baik kerana selain membuka selera, ulam-ulam mempunyai khasiat daripada segi pemakanan dan perubatan. Ini kerana, khasiat yang terkandung didalamnya dapat dikekalkan tanpa mengalami kehilangan zat disebabkan oleh proses memasak yang dikenakan haba. Jika selama ini, ulam hanya sinonim dengan penduduk di luar bandar, namun senario ini telah berubah kerana ulam juga telah menjadi santapan biasa bagi warga di bandar dan juga semakin mendapat tempat di hati masyarakat antarabangsa.


Sehingga kini, dipercayai terdapat lebih daripada 120 jenis ulam tradisional telah dikenal pasti di Malaysia. Ulam-ulam ini terdiri dari perbagai famili tumbuh-tumbuhan. Ulam boleh didapati dari tumbuhan kecil dan melata seperti pegaga, hingga pokok-pokok renek dan pokok-pokok besar seperti petai dan kerdas. Berdasarkan kebiasaannya, ulam-ulam tradisional secara amnya boleh dibahagi kepada dua kumpulan. Sayur-sayuran ini dianggap tradisional kerana mudah didapati di kawasan-kawasan kampung, kadang-kadang tumbuh dengan sendiri atau ditanam tanpa penjagaan rapi.

Kumpulan ulam yang popular dan mudah didapati di pasaran, contohnya pegaga, rebung buluh, cekur manis, jering, kacang kelisa, petai, ulam raja dan sebagainya. Sementara beluntas, pucuk betik, cekur, pucuk gajus, daun tenggek burung dan beberapa jenis ulam lagi termasuk dalam kumpulan kedua iaitu ulam yang kurang terkenal dan jarang didapati di pasaran.



Pada masa kini, hanya terdapat beberapa jenis ulam tradisional sahaja yang ditanam. Itu pun secara kecil-kecilan untuk keperluan sendiri atau dipasarkan. Antara ulam-ulam tersebut termasuklah ulam raja, selom dan kacang kelisa. Kebanyakan jenis ulam seperti jering, pucuk putat, daun salam, selasih dandi dan pucuk mata pelanduk dikutip dari tumbuh-tumbuhan yang tumbuh dalam keadaan semulajadi seperti hutan atau dusun. Sebilangan besarnya pula merupakan hasil sampingan sesuatu tanaman yang ditanam untuk tujuan lain. Ini termasuklah jantung pisang, pucuk ubi, dan pucuk gajus.

Sebagaimana sayur-sayuran biasa, ulam-ulam juga mengandungi nilai pemakanan yang penting seperti karbohidrat, lemak, protein, mineral-mineral utama dan vitamin-vitamin untuk kesihatan manusia seperti karotena, vitamin A, B dan C. Kini terbuktilah, pemilihan ulam- ulaman di dalam diet harian kita adalah tepat kerana khasiat yang terkandung dalam ulam tidak dapat dinafikan kelebihannya malah ia turut mendapat perhatian pakar-pakar pemakanan antarabangsa yang turut mengakui keistimewaan tumbuhan semulajadi tersebut.

Banyak lagi sebenarnya ulam-ulaman yang ada di Malaysia tidak diketengahkan lagi kepada umum. Malah kebanyakkan generasi baru hari ini tidak mengenali dan meminati ulam-ulaman. Mereka MUNGKIN tidak mengetahui khasiat sebenarnya ulam-ulaman ini dan banyak terdedah dengan makan segera yang kurang berkhasiat. Di harap anda boleh kongsikan di sini… Semoga info anda dapat membuka minat dan memberi pengetahuan kepada generasi muda supaya memakan ulam-ulaman. Jadikanlah ulam-ulaman sebagai ubat bagi mencegah penyakit dan seterusnya menjaga kesihatan anda.

No comments:

Post a Comment