Setiap anak wajib berbakti dan mentaati ibu bapa
bertujuan membahagiakan kehidupan mereka melalui hari tua. Ajaran Islam
meletakkan ibu bapa pada kedudukan yang mulia. Banyak bakti yang boleh dilakukan
kepada ibu bapa. Bakti itu dalam bentuk metarial dan hubungan kasih sayang. Ini
bersesuaian dengan fizikal ibu bapa yang semakin uzur dan memerlukan lebih
perhatian.
Terdapat sekurang-kurangnya 10 bakti perlu dilakukan setiap anak terhadap
ibu bapa.
1. Memberi
nafkah. Terdapat ibu bapa yang berdepan dengan masalah kewangan. Mereka
tidak dapat lagi melakukan tugas seharian disebabkan faktor usia. Kalaupun
berkerja, tetapi tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga yang
semakin meningkat.
Justeru menjadi tanggungjawab anak memberi nafkah
atau bantuan kewangan kepada ibu bapa. Sumbangan itu tidak seberapa berbanding
yang dibelanjakan ibu bapa untuk membesar dan mendidik anak.
2. Menyediakan
tempat tinggal. Dalam kes ibu bapa yang hilang tempat tinggal, atau tidak
sesuai untuk didiami, adalah menjadi tanggungjawab anak menyediakan tempat
tinggal yang lebih sesuai kepada ibu bapa.
Paling baik jika ibu bapa dibawa tinggal bersama
agar dapat menjamin keselamatan dan keperluan harian mereka diuruskan dengan
baik.
3. Memberi kasih
sayang. Kasih sayang adalah sebagai membalas kasih sayang yang selama ini
telah dicurahkan ibu bapa. Kasih sayang ibu dan bapa tidak pernah padam terhadap
anaknya. Jadi seharusnya kasih sayang itu dibalas dengan sebaik-baiknya.
Anak yang baik tidak melupai jasa dan kasih
sayang kedua ibu bapa. Anak soleh sentiasa memohon kepada Allah agar ibu bapa
mereka diberkati dan dicucuri rahmat.
Firman Allah bermaksud: ?Wahai Tuhanku! Cucurilah
rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayang
memelihara dan mendidikku ketika kecil.? (Surah al-Isra, ayat 24).
4. Memberi
perhatian. Ibu bapa yang diabaikan akan merasai kesunyian. Mereka terasa
disisih dan dan seperti tidak diperdulikan. Hal ini memberi tekanan perasaan dan
menyebabkan kemurungan. Keadaan ini jika berterusan memberi kesan kepada
kesihatan fizikal dan mental ibu bapa.
Penerapan amalan memberi perhatian terhadap ibu
bapa perlu disemai, dibajai serta disuburkan dalam kehidupan masyarakat kita.
Kes anak yang membuang ibu bapa semakin meningkat. Anak memandang jijik terhadap
ibu bapa sendiri.
Banyak ibu bapa yang disisihkan dan dihantar ke
rumah rumah penjagaan orang-orang tua. Sukar diterima akal anak mendakwa tidak
mampu menjaga ibu bapa. Sedangkan, ibu bapa mampu menjaga dan membesarkan
beberapa orang anak.
5. Memenuhi
permintaan. Ibu bapa seringkali memerlukan bantuan anak untuk
melaksanakan sesuatu keperluan. Permintaan itu mungkin dalam bentuk kewangan,
tenaga dan masa.
Memenuhi permintaan ibu bapa perlu diutamakan
berbanding melakukan tugas lain. Sesungguhnya, memenuhi permintaan ibu bapa
lebih baik berbanding melakukan ibadat sembahyang sunat, berpuasa sunat, dan
seumpamanya.
Malah keutamaan berbakti kepada ibu bapa lebih
utama berjihad di medan perang. Diriwaytkan daripada Bukhri dan Muslim, Ibnu
Umar berkata: ?Saya telah bertanya kepada Nabi Muhammad: Apakah perbuatan
disukai oleh Allah??
Lalu baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya.
Kemudian apa?? tanya saya lagi. Baginda menjawab: Berbakti kepada kedua ibu
bapa. Saya bertanya: Apa lagi. Jawab baginda: Berjihad pada jalan Allah.
6. Melakukan apa
yang disukai. Ibu bapa sudah tentu mengharapkan anaknya melakukan sesuatu
yang baik pada pandangan mereka. Melakukan perkara yang tidak sukai ibu bapa
bermakna melakukan perbuatan derhaka.
Anak derhaka kepada ibu bapa tidak mendapat
keberkatan dalam kehidupannya. Sesiapa derhaka kepada ibu bapa disegerakan
balasan di dunia dan tidak terlepas di akhirat.
Sabda Rasulullah bermaksud: Dua kejahatan yang
disegerakan balasan di dunia ialah zina dan menderhaka kepada dua ibu
bapa.(Hadis riwayat Tirmizi).
Dalam hadis lain diriwayatkan al-Hakam bermaksud:
Semua dosa akan ditangguhkan Allah, yakni balasan menurut kehendak-Nya hingga ke
hari kiamat, kecuali balasan menderhaka kepada kedua ibu bapa. Maka sesungguhnya
Allah menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa hidupnya sebelum mati.
7. Bercakap
dengan lemah lembut. Satu cara menjaga perasaan ibu bapa ialah bercakap
lemah lembut dengan mereka. Suara hendaklah direndahkan dan jangan membantah
permintaan mereka.
Firman Allah bermaksud: Tuhanmu telah
memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah, dan hendaklah berbuat
santun terhadap kedua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya, atau
kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali engkau berani berkata cis!
terhadap mereka dan janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi berkatalah
dengan sopan santun dan lemah lembut. (Surah al-Israk, ayat 23).
Sesungguhnya, anak ditegah membantah kata-kata
ibu bapa dengan suara tinggi atau bermaksud merendahkan kedudukan ibu bapa.
Lebih baik berdiam diri daripada berkata-kata yang mungkin menyinggung perasaan
ibu bapa. Kemudian jika ada kesempatan, gunakan cara yang lembut untuk
menjelaskan keadaan sebenar.
8. Menghadiahkan
kejayaan. Ibu bapa sentiasa mengharapkan kejayaan anak mereka. Anak
hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan agar dapat
dikongsi kegembiraannya bersama-sama dengan ibu bapa.
Jadi, jika memperoleh kejayaan dalam pelajaran,
mendapat pekerjaan, dinaikkan pangkat dan seumpamanya, seharusnya dimaklumkan
kepada ibu bapa. Ibu bapa dibawa bersama-sama dalam majlis untuk meraikan
kejayaan itu.
9. Meluangkan
masa bersama-sama. Anak yang tinggal berasingan dengan ibu bapa perlu
kerap meluangkan masa mengunjungi ibu bapa. Ibu bapa berasa senang menerima
kunjungan dan menatap wajah anaknya.
10. Mendoakan
kebaikan untuk ibu bapa. Anak perlu sentiasa mendoakan kebaikan untuk ibu
bapanya. Amalan mendoakan kebaikan untuk ibu bapa perlu diteruskan biarpun ibu
bapa telah meninggal dunia.
Sabda Rasulullah bermaksud: Apabila meninggal
seseorang itu, maka terputuslah segala amalannya, melainkan tiga perkara iaitu
sedekah jariah yang berterusan memberi manfaat, ilmu yang memberi kebaikan
diajarkan kepada orang lain dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kebaikan
kepada kedua ibu bapanya. (Hadis riwayat Muslim).
Kebaikan dilakukan anak terhadap ibu bapa
sebenarnya amat kecil Anak tidak mampu untuk membalas jasa ibu bapa sepenuhnya
biarpun dia berbakti sepanjang hayatnya.
Gunakan kesempatan yang ada untuk melakukan bakti terhadap ibu bapa sebaik mungkin. Masa untuk anak berbakti kepada ibu bapa sebenarnya semakin suntuk. Lambat laun ibu bapa akan meninggal dunia. Bertindaklah sebelum terlambat, selagi ibu bapa atau salah seorangnya masih hidup..Moga kita semua menjadi anak yang soleh dan taat kepada ibu dan bapa kita...)
sumber dari: aljerusi08.blogspot.com
No comments:
Post a Comment