Pages

Saturday 28 July 2012

pesona ramadhan menggamit lagi




Ramadan


Ramadan sentiasa memberikan kesan indah, penuh pesona dan sentiasa menggores kenangan yang tidak mudah dilupakan apalagi jika ia dipandang dari sudut keimanan.

Cuba pandang kepada gambaran berikut:

1. Lihatlah tubuh-tubuh yang secara fizikalnya nampak begitu lemah, namun kekuatan ruhani ketakwaan begitu menyerlah memancar sinarnya di sebalik tatapan wajahnya.

2. Lihat pula kaki-kaki yang mantap berjalan beriringan menuju masjid-masjid untuk mempersembahkan ketundukannya kepada al-Khaliq.

3. Perhatikanlah wajah-wajah cerah dan ceria sesaat sebelum berbuka, keceriaan kerana telah menunaikan kewajibannya lebih mendahului keceriaan menghadapi hidangan yang akan disantap.

Namun, Ramadan bukanlah drama satu babak yang selesai begitu sahaja sebagai sebuah cerita yang patut dikenang seiring dengan kepergiannya.

Memahami Ramadan seperti ini tidak ubah seperti sebuah panggung gembira di sebuah tanah lapang yang hiruk pikuk dengan sorak sorai dan tawa riang, namun keesokan harinya, setelah panggung itu ditutup dan dirobohkan, yang ada hanyalah tanah lapang yang lengang, senyap sunyi serta tidak ada lagi sorak sorai dan tawa riang.

Ramadan bahkan sesungguhnya merupakan bahagian yang tidak terpisah dari episod-episod kehidupan ini dengan kita sebagai pameran utama di dalamnya.

Bagaikan sebuah drama bersiri, dia tidak menjadi lengkap dan indah sebagai sebuah cerita jika episod-episod berikutnya tidak bersambung dan tidak seirama.

Peranan-peranan yang telah ditampilkan dalam ‘episod’ Ramadan sangat mudah untuk ditangkap dan dipraktikkan, bahkan kita telah sama-sama telah ikut memberi peranan kepadanya.

Oleh yang demikian, walaupun setelah Ramadan berlalu, kita tinggal meneruskan peranan-peranan tersebut agar kisah ini menjadi suatu rangkaian kisah yang indah dan mempesonakan.

Berilah tajuk-tajuk yang indah dan menarik agar memberi motivasi kepada kita bagi meneruskan kebajikan-kebajikan yang telah kita semai dalam ‘episod’ Ramadan.

Di antara tajuk-tajuk yang indah dan menarik tersebut adalah seperti berikut:

Ikhlas, tangga pertama meraih kabahagiaan

Keikhlasan menjadi salah satu fokus dari ibadah di bulan Ramadan.
Perhatikanlah keutamaan berpuasa dan beribadah di malam hari Ramadan di mana keduanya disyaratkan untuk dilakukan dengan iman dan semata-mata mengharapkan pahala dari Allah Subhanahu wa Taala.

Maka, jika puasa menjanjikan dua kebahagiaan bagi orang yang berpuasa iaitu:

a. Kebahagiaan ketika dia berbuka.
b. Kebahagiaan ketika dia berjumpa dengan Tuhannya.

Maka, keikhlasan jelas menjadi tangga pertama yang mesti kita jejaki.

Di sudut lain, keikhlasan mempunyai kaitan yang erat dalam usaha kita untuk mengurangi kebergantungan terhadap dunia yang secara teori mahupun praktikal sering menjadi sebab kegagalan untuk meraih kebahagiaan.

Ini adalah kerana tabiat dunia adalah punah, rosak, layu dan membosankan sehingga secara automatiknya orang yang hidup bergantung kepadanya pun akan mendapatkan perkara-perkara yang serupa sedangkan sifat Allah Subhanahu wa Taala adalah kekal, kuat, kukuh dan indah.

Maka orang yang ikhlas kepada-Nya akan merasa bahagia kerana sifat-sifat tersebut berkadar lurus dengan kebahagiaan.

Oleh yang demikian, teruskanlah peranan tersebut dan wujudkan keikhlasan dalam setiap aktiviti kita dalam solat, puasa, mencari nafkah, bergaul dengan keluarga, bershabat dan lain-lain sehingga akhirnya InsyaAllah, kunci kebahagiaan telah berada di dalam genggaman kita.

"Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik laki-laki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, Maka Sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik"
(QS An-Nahl: 97)

Masjid semakin indah jika ramai solat berjemaah

Mari kita saksikan kembali 'tayangan' Ramadan yang menyorot masjid-masjid dan surau-surau di sekitar kita di mana nyaris-nyaris tidak kita dapati masjid atau surau yang tidak berdenyut.

1. Langkah-langkah kaki yang terayun mantap.
2. Percikan air wuduk yang berjatuhan.
3. Suara takbir yang berkumandang.
4. Lantunan ayat-ayat suci yang dibacakan.
5. Diselangi pula dengan si kecil yang kadang-kadang berlarian.

Semuanya itu berpadu membentuk simfoni indah bagi rumah Allah dengan segala keberkatan dan nilai-nilai sosial yang mengiringinya.

Adakah simfoni yang indah tersebut akan segera hilang seiring dengan kepergian Ramadan?

Majid-masjid kembali terkunci rapat kecuali untuk satu dua kali solat atau ramainya orang hanya ketika adanya majlis akad nikah seketika.

Di sinilah kita dituntut untuk meneruskan peranan kita untuk memakmurkan masjid dalam ketaatan.

Keindahan masjid bukan terletak pada:

1. Ketinggian seni arkiteknya.
2. Keindahan ukiran-ukiran yang menghiasinya.

Namun, sebenarnya ia terletak pada ramainya hamba-hamba Allah yang mendatanginya untuk menyatakan ketundukan kepada Al Khalik, meskipun bangunannya hanya terbuat dari tanah liat dan beratap pelepah tamar.

Seiring dengan itu, peranan kita bukan setakat membangunnya, tetapi juga meramaikannya dengan ibadah dan ketaatan, minimumnya dengan solat berjamaah lima waktu, sekaligus sebagai bukti keimanan kita kepada Allah Subhanahu wa Taala.

"Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian."
(QS At-Taubah: 18)

Maka, raihlah naungan Allah di hari kiamat yang hanya Allah berikan kepada lapan golongan dan salah satunya adalah:

“Seseorang yang hatinya bergantung kepada masjid'.”
(Muttafaq alaih)

Indahnya hidup saling berkongsi

Ramadan, di sudut lain, juga menayangkan sebuah cebisan kehidupan yang sering terabai, iaitu bahwa hidup saling berkongsi itu sangat indah.

Anjuran banyak bersedekah di bulan yang mulia itu tidak hanya sebatas pentingnya si kaya memberi kepada si miskin, tetapi lebih jauh dari itu adalah bagaimana sebuah masyarakat terbentuk dalam susunan yang saling mengisi dan melengkapi, saling memberi dan berkongsi.

Tiang-tiang kehidupan bermasyarakat akan menjadi sangat rapuh dan hanya menunggu waktu keruntuhannya sahaja apabila ada penyimpangan di dalamnya di mana:

a. Yang kaya sombong dengan apa yang dimilikinya.
b. Si miskin pula acuh dengan kegetiran hidupnya.

Apabila selesainya bulan Ramadan, peranan ini masih perlu kita teruskan dan kita budayakan.
Kehidupan berkongsi ini tidak hanya terbatas kepada aspek material semata-mata bahkan kita dapat berkongsi nasihat, doa, semangat dan motivasi sehingga kepada sepotong senyuman pun, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam menamakannya sebagai sedekah.

Hendaklah perkara itu dilakukan seadanya dengan penuh tulus, tanpa dibuat-buat kerana keinginan kita meraih ridha Allah Subhanahu wa Taala dan menciptakan hubungan yang harmoni di tengah-tengah masyarakat meskipun tidak ada jurugambar atau wartawan yang menemuramahya serta tidak ada surat khabar yang memuat beritanya.

Mudah-mudahan kita akan menyedari bahwa terwujudnya masyarakat yang saling berkongsi tanpa apa-apa habuan dan hilangnya jurang sosial di tengah masyarakat, jauh lebih berharga dari sekelumit jawatan yang mereka kejar sehingga walaupun jawatan tersebut tidak juga dapat mereka raih, sikap berkongsi tersebut tetap ditampilkan seadanya tanpa pengurangan sedikit pun.

Demikianlah contoh dari peranan-peranan yang boleh kita teruskan dalam episod-episod berikutnya malah masih banyak lagi tema-tema yang dapat kita ambil.

Kita dapat melukiskan senarionya dan bahkan langsung menjadi pameran utamanya. Yang penting ia mestilah seirama dan senafas dengan ‘episod’ Ramadan yang sangat mempesonakan itu.

Semoga Allah memberikan kita kekuatan zahir dan batin agar dapat meneruskan kisah ini sehingga menjadi kisah utuh tentang anak manusia yang sedang menjalani fungsi penghambaannya hingga akhirnya kisah ini dapat ditutup dengan ‘husnul khatimah’ iaitu pengakhiran kehidupan yang baik.

Apabila sampai masanya nanti, Allah Subhanahu wa Taala akan membentangkan kembali kisah tersebut di hari pembalasan di mana kita akan tersenyum bahagia kerana usaha dan amal kita yang menawan serta mendapat pujian.

“Sesungguhnya orang yang berbakti itu benar-benar berada dalam kenikmatan yang besar (syurga). Mereka (duduk) di atas pelamin-pelamin sambil memandang. Kamu dapat mengetahui dari wajah mereka kesenangan mereka yang penuh kenikmatan. Mereka diberi minum dari khamar murni yang divarnis (tempatnya), Varnisnya adalah kasturi; dan untuk yang demikian itu hendaknya orang berlumba-lumba.”
(QS Al-Muthaffifin: 22-26)

Ya Allah, dengan kedatangan Ramadan yang membawa seribu satu kelebihan, kami dengan rendah diri menadah tangan kepadaMu untuk memohon keberkatan Ramadan dan keampunan dari dosa-dosa yang kami lakukan. Kami juga memohon peningkatan iman dan ketakwaan hasil dari tarbiyah di madrasah Ramadan sehingga segala amal-amal yang kami lakukan sepanjang Ramadan dapat diteruskan oleh kami di bulan-bulan yang lain, insyaallah.


sumber dari: malaysiaharmoni.com

No comments:

Post a Comment