Pages

Saturday 28 July 2012

mengubati hati yang rosak




Solat Tarawih


Tidak terasa kepada kita bahawa waktu terus berlalu dan hari ini kita telah berada pada hari ketiga Ramadan. Seperti baru kelmarin Ramadan tahun lalu kita tinggalkan, kini bulan mulia yang penuh dengan keberkatan itu bertandang lagi. Alhamdulillah, pujian bagi Allah yang telah memanjangkan usia kita sehingga dapat menyambut Ramadan 1433 Hijrah ini.
Kalau kita mengimbau suasana pada bulan Ramadan tahun lalu, kita mungkin berasa begitu dekat dengan Allah Subhanahu Wataala.

Kita lalui hari-harinya untuk sentiasa beribadah kepada-Nya dengan solat berjemaah di masjid, solat Tarawih, qiamullail, tilawah al-Quran, sedekah dan macam-macam ibadah lainnya.

Lebih-lebih lagi pada sepuluh hari terakhirnya kita tidak ketinggalan untuk beriktikaf di masjid bagi lebih mendekatkan lagi diri kita yang hina ini ke pangkuan Ilahi, memanjatkan doa memohon ampun atas semua dosa yang pernah kita lakukan.

Selepas Ramadan itu pergi, memasuki bulan Syawal kita masih boleh menghadirkan semangat Ramadan pada diri kita. Masih boleh kita melaksanakan ibadah puasa sunnah Syawal. Masih boleh kita pertahankan untuk menghiasi malam-malamnya dengan qiamullail. Tilawah al-Quran masih boleh satu juz dalam sehari serta ibadah-ibadah yang lainnya. Subhanallah...

Namun secara perlahan, semangat Ramadan itu hilang dari diri kita. Semakin jauhnya kita dengan Allah Subhanahu Wataala boleh dikesan dengan berkurangnya kualiti ibadah kita, apatah lagi dosa-dosa pun banyak kita lakukan sehingga hati kita penuh dengan titik-titik hitam yang akhirnya menyebabkan hati itu berjelaga dan rosak. Astaghfirullah...

Menurut Ibnul Qayyim, hati yang rosak boleh diubati dengan:

Pertama: Memperbanyak zikir kepada Allah Subhanahu Wataala

Zikir akan sentiasa mengingatkan hati kepada Pencipta. Dekatnya kita dengan Pencipta akan menjadikan hati berasa diawasi oleh-Nya sehingga hati akan menjadi kukuh serta tidak akan goyah dipujuk rayu oleh hawa nafsu. Hati akan berasa gementar untuk memerintahkan anggota badannya berbuat maksiat.

Namun, apabila hati jauh dari zikir, justeru sebaliknya, hawa nafsu akan mudah mempermainkan hati manusia. Pada waktu itu, hati tidak dapat menjalankan fungsinya sebagai bendungan yang mengatur derasnya aliran nafsu kerana hati tidak lagi dirawat serta dipelihara dengan memperbanyak zikir.

Akhirnya, bendungan yang tidak lagi terpelihara, dibiarkan menua, apalagi jika terus digigit oleh lumut-lumut kemaksiatan, maka ia akan mudah sahaja dihancurkan oleh lajunya dorongan nafsu.

Kedua: Memohon ampunan kepada Allah Subhanahu Wataala

Doa ialah satu cara untuk kita memohon keampunan kepada Allah dan ia merupakan benteng yang menjadikan hati semakin kukuh kerana sifat hati tidaklah luput daripada kesalahan mahupun dosa.

Pada setiap saat, iblis berserta pasukannya sentiasa mengintai dan mencari titik kelemahan hati manusia. Iblis berserta pasukannya sentiasa bersiap sedia dengan tombak dan panahnya bagi menghancurkan benteng pertahanan hati manusia. Bahkan, tidak jarang pula tombak atau panah-panah iblis tersebut berhasil menembusinya.

Jika pertahanannya telah ditembusi, maka hati akan terluka dan ia perlu melakukan perbaikan kembali agar ia dapat meneruskan pertempuran kembali melawan iblis berserta pasukannya.

Berdoa memohon keampunan-Nya adalah ubat penawar luka tersebut. Jika ubat tersebut tidak segera digunakan, maka iblis berserta pasukannya akan semakin mudah menembak pertahanan hati yang mana akhirnya hati akan mudah ditakluk serta dikuasai oleh iblis berserta pasukannya.

Iblis berserta pasukannya akhirnya akan tertawa terbahak-bahak, angkuh kerana berhasil menakluk hati. Jika iblis berserta pasukannya berhasil menguasai hati, maka mereka akan menjadikan hati sebagai hambanya.

Mereka akan semena-mena memerintahkan hati untuk berbuat sesuai dengan kehendak mereka. Tentulah yang pertama sekali mereka akan memerintahkan hati untuk derhaka kepada Allah. Kemudian, iblis jadikan hati yang kalah tersebut sebagai pengikutnya, untuk bersama-sama dengan pasukannya yang lain, menghancurkan hati-hati yang masih bersih.

Membangunkan hati yang kukuh memanglah memerlukan perjuangan. Ia tidak boleh dibangunkan hanya dalam sekelip mata. Benteng hati yang kukuh perlu dibangunkan secara bertahap, namun berterusan.

Sebagaimana benteng bangunan yang kukuh dalam pengertian sebenar, ia perlu dibangunkan dari konsep struktur bangunan dan bahan-bahan material yang terbaik.

Demikian juga halnya dengan hati yang kukuh, ia perlu dibangunkan dari konsep ikhlas disertai dengan rangkaian-rangkaian amalan yang baik sesuai dengan anjuran al-Quran dan as-Sunnah. Ia tidak hanya dibangunkan lalu diabaikan, namun ia mesti terus dipelihara keberadaannya kerana hati bukanlah nilai yang sekata tetapi bersifat turun naik, mengalami pasang dan surutnya.


sumber dari: malaysiaharmoni.com

No comments:

Post a Comment