Pages

Monday, 7 January 2013

Pendapat Ulama dan Mengenai Perayaan Maulidur Rasul






Undang-undang perayaan maulid telah menjadi topik perdebatan para ulama sejak lama dalam sejarah Islam, iaitu antara kalangan yang membenarkan dan yang melarangnya kerana dianggap bid’ah.
.
Untuk lebih jelas mengenai duduk persoalan undang-undang maulid ini, ada baiknya kita mentelaah sejarah pemikiran Islam tentang peringatan maulid ini dari pendapat para ulama terdahulu. Tentu saja tulisan ini tidak mengandungi semua pendapat ulama Islam, tetapi cukup ulama dominan yang boleh dijadikan rujukan untuk membuat sebuah peta pemikiran.
.
Di antara ulamak besar yang mengatakan bahawa sambutan Maulidur Rasul ini adalah harus dan digalakkan ialah;
.
1. Said Ahmad Zaini Dahlan dalam kitabnya `Siratun Nabawiyah’. Antara lain beliau menyatakan bahawa; “masyarakat telah terbiasa berdiri tegak ketika mendengar riwayat kelahiran Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam. Berdiri tegak menghormati kelahiran baginda adalah baik dan cara-cara seperti ini telah ditiru oleh cerdik cendikiawan lainnya.”
.
2. Imam Jalaluddin As-Sayuti lebih jauh menerangkan dalam kitabnya `Al-Wasail Fi Syarhisy Syamail’, menyatakan; “Apabila diadakan peringatan Maulidur Rasul di sebuah rumah, masjid atau tempat lain maka malaikat mengawal dan mengawasi tempat tersebut sampai upacara selesai dan semua hadhirin mendapat rahmat dari Allah subhanahu wa taala.”
.
3. Ust. Hj. Harun Muhammad Al-Kelantani (1953) dalam kitabnya Senjata Syariat, Pakaian Ahli Sunnah Wal Jamaah menyatakan bahawa, “Dapat pahala bagi orang yang berdiri yang adalah niat mereka membesarkan Nabi Shalallahu ‘alaihi wasalam.”
.
4. Al-Hafidz al-Iraqi dalam kitab Syarh Mawahib Ladunniyah mengatakan: Melakukan perayaan, memberi makan orang disunnahkan tiap waktu, apalagi kalau itu disertai dengan rasa gembira dan senang dengan kehadiran Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam pada hari dan bulan itu. Tidaklah sesuatu yang bid’ah selalu makruh dan dilarang, banyak sekali bid’ah yang disunnahkan dan bahkan diwajibkan.”
.
5. Ibnu Hajar al-Haithami berpendapat: “Bid’ah yang baik itu sunnah dilakukan, begitu juga memperingati hari maulid Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam.”
.
6. Imam Suyuti berkata: “Menurut saya asal perayaan maulid Nabi Shalallahu ‘alaihi wasalam, iaitu manusia berkumpul, membaca al-Quran dan kisah-kisah teladan Nabi Shalallahu ‘alaihi wasalam sejak kelahirannya sampai perjalanan hidupnya. Kemudian dihidangkan makanan yang dinikmati bersama, setelah itu mereka pulang. Hanya itu yang dilakukan, tidak lebih. Semua itu tergolong bid’ah hasanah. Orang yang melakukannya diberi pahala kerana mengagungkan darjat Nabi Shalallahu ‘alaihi wasalam, menampakkan suka cita dan kegembiraan atas kelahiran Nabi Muhamad Shalallahu ‘alaihi wasalam yang mulia.”
.
7. Syeh Azhar Husnain Muhammad Makhluf berkata: “Menghidupkan malam maulid nabi dan malam-malam bulan Rabiul Awal ini adalah dengan memperbanyak zikir kepada Allah, memperbanyak syukur dengan nikmat-nikmat yang diturunkan termasuk nikmat dilahirkannya Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam di alam dunia ini. Memperingatinya sebaiknya dengan cara yang santun dan khusyuk’ dan menjauhi hal-hal yang dilarang agama seperti amalan-amalan bid’ah dan kemungkaran. Dan termasuk cara bersyukur adalah menyantuni orang-orang susah, menjalin silaturrahim. Cara itu walaupun tidak dilakukan pada zaman Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam dan tidak juga pada masa salaf terdahulu tetapi baik untuk dilakukan termasuk sunnah hasanah.”
.
8. Pendapat Abu Shamah (guru Imam Nawawi) menyatakan: “Termasuk yang hal baru yang baik dilakukan pada zaman ini adalah apa yang dilakukan setiap tahun bertepatan pada hari kelahiran Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam dengan memberi sedekah dan kebaikan, menunjukkan rasa gembira dan bahagia, sesungguhnya itu semua ini yang membantu fakir miskin adalah tanda kecintaan kepada Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam dan penghormatan kepada beliau, begitu juga merupakan bentuk syukur kepada Allah atas diutusnya Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam kepada seluruh alam semesta.”
.

9. Pendapat Ibnu Taymiyah

.
Ibnu Taymiyah dalam kitab Iqtidla’-us-Syirat al-Mustaqim (2/83-85) mengatakan: “Rasululullah Shalallahu ‘alaihi wasalam telah melakukan kejadian-kejadian penting dalam sejarah beliau, seperti khutbah-khutbah dan perjanjian-perjanjian beliau pada hari Badar, Hunain, Khandaq, pembukaan Makkah, Hijrah, Masuk Madinah. Tidak seharusnya hari-hari itu dijadikan hari raya, kerana yang melakukan seperti itu adalah umat Nasrani atau Yahudi yang menjadikan semua kejadian Isa hari raya. Hari raya merupakan sebahagian dari syariat, apa yang disyariatkan itulah yang diikuti, kalau tidak maka telah membuat sesuatu yang baru dalam agama. Maka apa yang dilakukan orang memperingati maulid, antara mengikuti tradisi Nasrani yang memperingati kelahiran Isa, atau kerana cinta Rasulullah. Allah mungkin akan memberi pahala atas kecintaan dan ijtihad itu, tapi tidak atas bid’ah dengan menjadikan maulid nabi sebagai hari raya. Orang-orang salaf tidak melakukan itu padahal mereka lebih mencintai rasul.”
.
Namun dalam bahagian lain di kitab tersebut, Ibnu Taymiyah menambah: “Merayakan maulid dan menjadikannya sebagai kegiatan rutin dalam setahun yang telah dilakukan oleh orang-orang, akan mendapatkan pahala yang besar sebab tujuannya baik dan mengagungkan Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam. Seperti yang telah saya jelaskan, kadang-kadang sesuatu itu baik bagi satu kalangan orang, padahal itu dianggap kurang baik oleh kalangan mu’min yang ketat. Suatu hari pernah ditanya kepada Imam Ahmad tentang tindakan salah seorang pegawai yang menyedekahkan wang 100 dinar untuk membuat mushaf Quran, beliau menjawab: “Biarkan saja, itu cara terbaik bagi dia untuk menyedekahkan emasnya”. Padahal mazhab Imam Ahmad mengatakan bahawa menghiasi Qur’an hukumnya makruh. Tujuan Imam Ahmad adalah bahawa pekerjaan itu ada maslahah dan ada mafsadahnya juga, maka dimakruhkan, akan tetapi apabila tidak dibenarkan, mereka itu akan membelanjakan wangnya untuk kerosakan, seperti membeli buku porno dan sebagainya.”
.
Fahamilah dengan cerdas hakikat agama, lihatlah permasalahan dalam setiap pekerjaan dan kerosakannya, sehingga kamu mengetahui peringkat kebaikan dan keburukan, sehingga pada saat terdesak anda boleh memilih mana yang paling penting, inilah hakikat ilmu yang diajarkan Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam. Membezakan jenis kebaikan, jenis keburukan dan jenis dalil itu lebih mudah. Sedangkan mengetahui peringkat kebaikan, peringkat keburukan dan peringkat dalil itu pekerjaan para ulama.
.
.
Seterusnya Ibnu Taymiyah menjelaskan peringkat amal soleh itu ada tiga.
.
Pertama, Amal soleh yang masyru’ (diajarkan) dan di dalamnya tidak ada kemakruhan sedikitpun. Inilah sunnah murni dan hakiki yang wajib dipelajari dan diajarkan dan inilah amalan orang soleh terdahulu dari zaman muhajirin dan anshor dan pengikutnya.
.
Kedua, Amal soleh dari satu sisi, atau sebahagian besar sisinya mengandungi amal soleh seperti tujuannya misalnya, atau mungkin amal itu mengandungi pekerjaan baik. Amalan-amalan ini banyak sekali ditemui pada orang-orang yang mengaku golongan agama dan ibadah dan dari orang-orang awam juga. Mereka itu lebih baik dari orang yang sama sekali tidak melakukan amal soleh, lebih baik juga daripada orang yang tidak beramal sama sekali dan lebih baik daripada orang yang amalannya dosa seperti kafir, dusta, khianat, dan bodoh.
.
Orang yang beribadah dengan ibadah yang mengandungi larangan seperti berpuasa lebih sehari tanpa buka (wisal), meninggalkan kenikmatan tertentu (mubah yang tidak dilarang), atau menghidupkan malam tertentu yang tidak perlu dikhususkan seperti malam pertama bulan Rejab, kadang-kadang mereka itu lebih baik dari pada orang pengangguran yang malas beribadah dan melakukan ketaatan agama. Bahkan ramai orang yang membenci amalan-amalan seperti ini, ternyata mereka itu kedekut dalam melakukan ibadah, dalam mengamalkan ilmu, beramal soleh, tidak suka kepada amalan dan tidak simpati kepadanya, tetapi tidak juga menghantarkannya kepada kebaikan, misalnya menggunakan kemampuannya untuk kebaikan. Mereka ini tingkah lakunya meninggalkan hal yang masyru’ (dianjurkan agama) dan yang tidak masyru’ (yang tidak dianjurkan agama), akan tetapi sebutan dan perkatannya menentang yang tidak masyru’.
.
Ketiga, Amalan yang sama sekali tidak mengandungi kebaikan, kerana meninggalkan kebaikan atau mengandungi perkara yang dilarang agama. (Ini hukumnya jelas).
.
.
10. Ibnu Hajar al-Asqolani dalam kitab Fatawa Kubro menjelaskan: “Asal melakukan maulid adalah bid’ah, tidak diriwayatkan dari ulama salaf dalam tiga abad pertama, akan tetapi di dalamnya terkandung kebaikan-kebaikan dan juga kesalahan-kesalahan. Sesiapa melakukan kebaikan di dalamnya dan menjauhi kesalahan-kesalahan, maka ia telah melakukan bid’ah yang baik (bid’ah hasanah). Saya telah melihat landasan yang kuat dalam hadis sahih Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam datang ke Madinah, beliau mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura, maka beliau bertanya kepada mereka, dan mereka menjawab: “Itu hari di mana Allah menenggelamkan Firaun, menyelamatkan Musa, kami berpuasa untuk mensyukuri itu semua. Dari situ dapat diambil kesimpulan bahawa boleh melakukan syukur pada hari tertentu di situ berlaku nikmat yang besar atau terjadi penyelamatan dari mara bahaya dan dilakukan itu tiap bertepatan pada hari itu. Syukur boleh dilakukan dengan pelbagai macam ibadah, seperti sujud, puasa, sedekah, membaca al-Quran dll. Apa nikmat yang paling besar selain kehadiran Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam di muka bumi ini. Maka sebaiknya merayakan maulid dengan melakukan syukur berupa membaca Qur’an, memberi makan fakir miskin, menceritakan keutamaan dan kebaikan Rauslullah yang boleh menggerakkan hati untuk berbuat baik dan amal soleh. Adapun yang dilakukan dengan mendengar muzik dan bermain alat muzik, maka hukumnya dikembalikan kepada hukum pekerjaan itu, kalau itu mubah maka hukumnya mubah, kalau itu haram maka hukumnya haram dan kalau itu kurang baik maka begitu seterusnya.”
.
11. Seorang ulama Turkmenistan Mubasshir al-Thirazi mengatakan: “Mengadakan perayaan maulid Nabi Muhammad Shalallahu ‘alaihi wasalam saat ini boleh jadi merupakan kewajipan yang perlu kita laksanakan, untuk mengatasi perayaan-perayaan kotor yang sekarang ini sangat banyak kita dapati di masyarakat.”



sumber dari: shafiqolbu.wordpress.com

No comments:

Post a Comment